Pengeluaran Getah Asli Negara Naik 6.6% | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran Getah Asli Negara Naik 6.6%

 

 

KUALA LUMPUR, 15 Okt. -  Pengeluaran getah asli Malaysia pada Ogos 2020 meningkat 6.6% kepada 44,543 tan metrik berbanding 42,801 tan metrik pada tahun sebelumnya.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Dr. Mohd Uzir Mahidin, perbandingan antara tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli Malaysia telah merosot sebanyak 22.7% berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

“Berbanding 45,386 tan metrik getah asli Malaysia yang dieksport pada Julai 2020, jumlah eksport getah asli pada Ogos 2020 adalah 42,658 tan metrik dengan penurunan sebanyak 6.0%,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan perangkaan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), negara China tetap menjadi destinasi utama eksport getah asli menerusi sumbangan sebanyak 46.8% daripada keseluruhan jumlah eksport getah asli negara.

Beliau menambah, produk getah eksport utama negara iaitu sarung tangan telah mencatatkan nilai eksport sebanyak RM3.0 bilion pada Ogos 2020.

Namun, nilai eksport ini telah menurun sebanyak 5.2% berbanding RM3.2 bilion yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

“Sejak Mei lalu, stok getah asli negara telah menunjukkan trend menurun. Pada Ogos 2020, stok telah merosot sebanyak 0.7% kepada 233,537 tan metrik berbanding 235,156 tan metrik pada Julai 2020,” terangnya lagi.

Datuk Dr. Mohd Uzir berkata, pembuatan sarung tangan getah terus mendominasi industri pembuatan getah asli  dengan penggunaan berjumlah 35,542 tan metrik (76%) daripada keseluruhan penggunaan domestik.

Mengikut perangkaan, jumlah penggunaan getah asli di peringkat domestik telah menyusut sebanyak 0.6% iaitu 46,745 tan metrik berbanding bulan sebelumnya.

Sementara itu, harga purata bagi Lateks Pekat telah meningkat kepada 467.71 sen sekilogram berbanding 467.20 sen sekilogram pada Julai 2020.

Harga purata bagi Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M. 20) turut mencatatkan peningkatan kepada 538.68 sen sekilogram berbanding 497.86 sen sekilogram bagi tempoh yang sama. – DagangNews.com