Pengendali kuari Advancecon raih kontrak RM18.8 juta di Kinta, Perak | DagangNews Skip to main content

Pengendali kuari Advancecon raih kontrak RM18.8 juta di Kinta, Perak

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Dis – Pakar kejuruteraan awam dan kerja tanah, Advancecon Holdings Berhad menerusi syarikat pengendali kuari Spring Energy Sdn Bhd (SESB) meraih kontrak dianggar bernilai RM18.8 juta bagi menyediakan operasi kuari dan perkhidmatan berkaitan di tapak baharu di Kinta, Perak.

 

SERB, yang dimiliki 51% secara tidak langsung oleh Advancecon menerima perjanjian daripada pemilik kuari, Aalborg Resources Sdn Bhd, untuk mengendalikan operasi lombong selama empat tahun sehingga Disember 2025.

 

SERB akan dilantik sebagai subkontraktor bagi menyediakan perkhidmatan pembangunan kuari seperti membuka laluan akses dan mengalihkan serta memindahkan batu kapur besar serta operasi berkaitan bagi membekalkan pemilik kuari dengan produk-produk untuk jualan di masa hadapan.

 

Pengambilalihan Advancecon ke atas Spring Energy Resources Berhad (syarikat induk SESB) dimuktamadkan pada 13 Disember 2021.

 

Selain hak mengendalikan operasi kuari di Perak, Spring Energy juga menguruskan tapak kuari di Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon, Dato’ Phum Ang Kia berkata, dengan kontrak perkhidmatan baharu ini, Spring Energy kini mengendalikan sembilan tapak kuari yang terletak strategik di Semenanjung Malaysia, sekali gus membuktikan keupayaan kami untuk menyokong pertumbuhan permintaan industri bagi produk-produk kuari.

 

“Pengambilalihan kepentingan majoriti di dalam Spring Energy adalah tepat pada masanya yang meletakkan kami pada kedudukan terbaik untuk meraih permintaan tinggi daripada sektor pembinaan dan infrastruktur, di kala negara beralih ke dasar propembangunan,’’ ujarnya.


 

Advancecon, Dato’ Phum Ang Kia
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon, Dato’ Phum Ang Kia

 


“Bukan itu sahaja, pengambilalihan ini juga membolehkan Advancecon menikmati sinergi di dalam Kumpulan yang diperbesarkan menerusi penggunaan produk-produk kuari yang disumber dalaman daripada Spring Energy untuk kerja-kerja tanah dan aktiviti pembinaan infrastruktur berasaskan jalan Advancecon.”

 

Sebagai sebahagian daripada pengambilalihan oleh Advancecon, Spring Energy bakal memberikan jaminan keseluruhan keuntungan selepas cukai sebanyak RM12 juta bagi tempoh 24 bulan meliputi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan 2023, dengan RM6.1 juta setahun diterima Advancecon berdasarkan kepentingan ekuiti 51% tersebut. – DagangNews.com