Pengendalian kontena yang tinggi lonjak pendapatan Westports | DagangNews Skip to main content

Pengendalian kontena yang tinggi lonjak pendapatan Westports

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Westports Holdings Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM178 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021, meningkat 32.8% berbanding RM134 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga meningkat kepada RM505 juta berbanding RM431 juta didorong oleh jumlah kontena yang lebih tinggi. 

 

Bagi separuh pertama pula, pendapatan kumpulan meningkat kepada RM1.01 bilion berbanding RM905.07 juta disumbang sebahagian besar menerusi segmen kontena meningkat 11% kepada 5.3 juta TEU.

 

Ia juga menyaksikan untung bersih kumpulan bagi tempoh itu meningkat kepada RM386.3 juta berbanding RM287.15 juta.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah berkata, syarikat masih lagi membuat pelaburan dalam peralatan operasi terminal bagi mengukuhkan kapasiti pengendalian terminal secara menyeluruh. 

 

Katanya, keputusan syarikat untuk melabur dan melengkapkan dermaga kontena Zon Z di CT9 mencecah kos sebanyak RM81 juta pada tahun lalu.

 

"Menjelang akhir tahun ini, Westports akan melengkapkan penambahan kontena Terminal Yard 8 seluas 19 ekar," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, tragedi yang menimpa Terusan Suez dan Yantian menunjukkan betapa pentingnya kebergantungan ekonomi global dan sumber mata pencarian terhadap pergerakan rantaian global.

 

Dalam hal ini, katanya, Westports menyedari peranan pentingnya di Malaysia dan rantau ini dan merancang untuk membina termina mega kontena dari CT10 hingga CT17 apabila mencapai perjanjian konsesi baharu dengan kerajaan.

 

"Ini juga merupakan komitmen berterusan kami untuk meningkatkan daya saing Pelabuhan Klang di rantau Asia Tenggara sebagai hab penghantaran," tambah beliau. - DagangNews.com