Penggabungan mega hospital swasta, bakal disenaraikan libat penilaian lebih RM20 bilion, lapor The Health | DagangNews Skip to main content

Penggabungan mega hospital swasta, bakal disenaraikan libat penilaian lebih RM20 bilion, lapor The Health

Entiti mega baru ini akan menggabungkan Columbia Asia Healthcare, Ramsay Sime Darby Health Care dan beberapa lagi pusat perubatan swasta di bawah satu payung, lapor akhbar The Health baru-baru ini. -Gambar hiasan Columbia Asia Tebrau
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMUR 21 Jun - Penggabungan beberapa hospital swasta dan aset kesihatan di bawah firma ekuiti swasta Amerika Syarikat, TPG Capital dan rakan kongsi mereka, Hong Leong Group didapati telah mendapat 'lampu hijau' daripada pengawal selia pasaran.

 

Entiti mega baru ini akan menggabungkan Columbia Asia Healthcare, Ramsay Sime Darby Health Care, Beacon Hospital, Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), ALTY Orthopaedic Hospital, dan PJ Integrated Centre of Advanced Surgery and Oncology (Picaso) di bawah satu payung.

 

Difahamkan bahawa selepas kelulusan itu, pihak yang terlibat sedang menyiapkan butiran entiti baru, lapor akhbar The Health dengan pengumuman itu dijangka dibuat tidak lama lagi.

 

 

Dijangkakan syarikat baru ini akan disenaraikan pada tahun 2026 di Bursa Malaysia dengan penilaian lebih daripada RM20 bilion, menjadikannya salah satu kumpulan kesihatan tersenarai terbesar di bursa tempatan. 

 

Ia akan termasuk fasiliti-fasiliti kesihatan di Malaysia, Indonesia, dan Vietnam.

 

Perlu diingatkan bahawa Hong Leong Group dan TPG telah mengambil alih hospital-hospital Columbia Asia di Asia Tenggara pada tahun 2019 dengan nilai US$1.2 bilion. 

 

Pembelian itu termasuk hospital-hospital di Malaysia, Indonesia, dan Vietnam tetapi tidak termasuk India. Tan Sri Quek Leng Chan mengawal Hong Leong Group.

 

Pada November 2023, Columbia Asia Healthcare membeli Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH) dengan nilai RM5.7 bilion daripada Sime Darby Bhd dan Ramsay Healthcare Ltd dari Australia. 

 

RSDH mengendalikan empat hospital di Malaysia dan tiga di Indonesia.

 

Bagi rekod, TPG pada tahun 2020 telah mempertimbangkan untuk menswastakan KPJ Healthcare Bhd bersama pemegang saham terbesar syarikat itu, Johor Corp, tetapi usaha itu tidak berlaku.

 

Diketahui juga bahawa TPG baru-baru ini mempertimbangkan untuk mengambil alih Island Hospital Group di Malaysia tetapi kini kelihatan bahawa Sunway Healthcare berminat untuk membelinya. Perjanjian itu boleh bernilai RM3.5 bilion.

 

Terdapat juga spekulasi bahawa Sunway Healthcare mungkin akan menyegerakan penyenaraian syarikatnya pada tahun depan dari tarikh asalnya pada 2027. Penyenaraian itu boleh bernilai sehingga RM12 billion, lapor The Health.- DagangNews.com