Pengguna beli minyak sawit Indonesia antara punca eksport Malaysia susut 26% pada Ogos | DagangNews Skip to main content

Pengguna beli minyak sawit Indonesia antara punca eksport Malaysia susut 26% pada Ogos

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Penganalisis tidak menolak kemungkinan langkah pengguna untuk mengimport lebih banyak minyak sawit dari Indonesia menjadi salah satu punca eksport komoditi tersebut di Malaysia merosot dengan ketara pada Ogos 2021. 

 

Situasi itu berlaku menjelang peningkatan cukai eksport minyak sawit sebanyak AS$73 setiap tan yang bakal dikuatkuasakan oleh Indonesia bermula 1 September dan ura-ura bahawa India pula akan menurunkan duti import untuk beberapa minyak masak, menurut firma penyelidikan, CGS-CIMB Research.

 

Bagi bulan berkenaan, Malaysia menyaksikan eksport minyak sawit merudum 17% berbanding Julai 2021 dan merosot 26% berbanding tempoh sama pada tahun lalu kepada 1.2 juta tan.

 

Secara dasarnya, firma itu bagaimanapun menekankan bahawa penurunan kadar eksport bagi tempoh tersebut adalah terutamanya disebabkan oleh permintaan yang lebih lemah dari China, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).

 

“Kami menjangkakan penyusutan ketara dalam eksport mungkin sebahagiannya disebabkan oleh pedagang menantikan peningkatan pengeluaran, pelanggan mengimport lebih banyak minyak sawit dari Indonesia menjelang peningkatan AS$73 cukai eksport atau levi untuk setiap tan di Indonesia berkuatkuasa 1 September. 

 

“...dan perbincangan bahawa India mungkin menurunkan duti import ke atas minyak masak sebanyak 5.5 mata peratusan kepada 24.75% untuk minyak sawit mentah, soya dan matahari serta sebanyak 9.5 mata peratusan kepada 31.75% untuk minyak sawit dan soya bertapis,” jelas firma itu dalam satu nota kajiannya, hari ini.

 

Firma itu mengunjurkan stok minyak sawit Malaysia akan meningkat sebanyak 1% kepada 1.89 juta tan menjelang penghujung September 2021 berbanding bulan sebelumnya. 

 

Harga minyak sawit mentah (MSM) pula diunjurkan mengukuh dalam lingkungan RM3,500 hingga RM4,500 setiap tan pada bulan ini walaupun inventori minyak masak global meruncing dan bekalan minyak sawit di Malaysia dijangka masih rendah.

 

Di sebalik unjuran tersebut, firma penyelidikan, MIDF Research bagaimanapun meramalkan harga MSM akan mula menurun pada separuh kedua tahun 2021 (2H21) memandangkan pengeluaran dijangka kembali pulih dipacu oleh keadaan cuaca lebih baik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan. 

 

Namun, firma itu percaya situasi bekalan minyak sawit yang terhad akan terus menyokong harga MSM dengan baik walaupun ia diramalkan mula menyusut pada masa akan datang. 

 

MIDF mengekalkan penarafan ‘positif’ terhadap sektor tersebut dengan purata harga MSM diunjurkan pada RM3,200 untuk sepanjang tahun ini. - DagangNews.com