Pengiktirafan anugerah tertinggi MIHRM 2023 lonjakkan Terengganu Inc setaraf syarikat antarabangsa | DagangNews Skip to main content

Pengiktirafan anugerah tertinggi MIHRM 2023 lonjakkan Terengganu Inc setaraf syarikat antarabangsa

Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun (tengah) bersama warga Terengganu Incorporated pada majlis anugerah Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM) di Subang Jaya pada 8 Disember 2023.
Oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 11 Dis - Pengiktirafan yang diterima Terengganu Incorporated Sdn Bhd melalui dua anugerah tertinggi anjuran Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM) pada Jumaat lalu melonjakkan lagi namanya setaraf syarikat antarabangsa.

 

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, anugerah berprestij itu adalah testimoni cemerlang terhadap keupayaan syarikat selaras fungsinya sebagai syarikat pelaburan induk strategik milik kerajaan negeri Terengganu.

 

Menurutnya, dua anugerah yang diterima iaitu Anugerah Tertinggi Antarabangsa dan Anugerah Majikan Pilihan (Sektor Swasta) menjadi satu penanda aras terhadap kualiti terbaik yang telah dilaksanakan Terengganu Inc selama ini. 

 

Beliau berkata, syarikat telah melalui dua proses penilaian juri yang ketat pada Oktober sehingga November sebelum dipilih menjadi pemenang anugerah berprestij itu.


 

Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun
Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun bersama Anugerah Tertinggi Antarabangsa dan Anugerah Majikan Pilihan (Sektor Swasta) MIHRM 2023.

 


"Ini adalah satu pengiktirafan signifikan syarikat sebagai pelopor dalam amalan pengurusan sumber manusia terbaik di Terengganu dan Pantai Timur, menonjolkan penglibatan pekerja yang luar biasa dan mencipta budaya tempat kerja yang unggul.

 

"Anugerah ini adalah hasil inisiatif modal insan seperti dapatan tenaga kerja yang betul menerusi pembentukan Prosedur Operasi Standard (SOP), Talent Pool Programme dan TI Management Trainee (TI-Mate). 

 

"Selain itu, Terengganu Inc turut melabur sebanyak RM838,500 bagi latihan dan pembangunan kemahiran dalam tenaga kerja semasa dan akan datang," katanya ketika ditemui DagangNews.com hari ini.


 
 

Terengganu
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ts. Mustapha Sakmud menyampaikan anugerah kepada Burhanuddin disaksikan Presiden MIHRM, Simon Benjamin di Subang Jaya, Selangor pada 8 Disember 2023



 
Anugerah MIHRM ialah acara utama dengan pengiktirafan global yang dianjurkan oleh MIHRM sejak 1999 dan tahun ini adalah kali ke-23 penganjurannya.


 
Mengulas lanjut, Burhanuddin berkata, menurut pandangan panel juri, Terengganu Inc layak menerima anugerah tersebut kerana telah menonjolkan pembentangan berkualiti tinggi yang disampaikan dalam proses penilaian sebelum ini.

 

"Hasilnya, anugerah terulung tersebut telah berjaya menjadi milik Terengganu Inc mendahului 46 majikan daripada sektor awam dan swasta di seluruh negara.

 

"Terengganu Inc turut menawarkan pelbagai faedah dan imbuhan kompetitif termasuk manfaat tambahan bagi aspek kesihatan dan kesejahteraan, pembelajaran dan profesional, cuti bergaji tambahan, persaraan dan keluarga, serta program kerohanian," katanya.

 

 

parafrasa

 

irsyad

 


Tambahnya, inisiatif sumber manusia Terengganu Inc juga melibatkan pengurusan prestasi yang berkesan dengan penilaian prestasi syarikat setiap suku tahun. 

 

"Selain itu, syarikat turut menitikberatkan penglibatan pekerja secara berterusan melalui 46 aktiviti sejak tahun 2021, termasuk dalam Town Hall, aktiviti sukan, hari kesihatan pekerja dan lain-lain lagi.


 
"Hasilnya, tinjauan maklum balas kakitangan Terengganu Inc mendapati 97.9 peratus pekerja bersetuju bahawa syarikat memberi inspirasi dan semangat untuk mencapai prestasi kerja terbaik," katanya.


 
Terengganu Inc yang ditubuhkan pada tahun 2006 adalah syarikat induk pelaburan milik kerajaan negeri yang berperanan menguruskan aktiviti pelaburan dan komersial melalui anak-anak syarikat Kumpulan.


 
Dengan matlamat hasil pelaburan tinggi menjelang tahun 2030, Terengganu Inc konsisten dalam pertumbuhan bisnes mampan di dalam pelbagai kluster utama antaranya perladangan, perkhidmatan sokongan minyak & gas, sumber asli, hartanah, pembangunan & pembinaan hartanah, penjagaan kesihatan serta pelaburan-pelaburan bukan teras.- DagangNews.com