Pengunjung tempatan pacu pertumbuhan perniagaan Legoland Malaysia selepas pandemik | DagangNews Skip to main content

Pengunjung tempatan pacu pertumbuhan perniagaan Legoland Malaysia selepas pandemik

CS Lim (kanan) dan Thila Munusamy (kiri) ketika sesi bersama media dan majlis pengenalan aktiviti baharu Legoland Malaysia 2024 di Kuala Lumpur pada 30 Januari 2024. - Gambar DagangNews
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Jan - Kunjungan pelancong tempatan antara faktor yang dilihat memacu operasi perniagaan Legoland Malaysia Resort ketika ini, dalam suasana pemulihan sektor pelancongan negara selepas pandemik COVID-19.

 

Pengarah Bahagian Legoland Malaysia Resort, CS Lim berkata, sebelum ini pengunjung antarabangsa dilihat lebih ramai mengunjungi taman tema tersebut, tetapi keadaan kian berubah selepas pandemik.

 

"Ketika ini, jumlah pengunjung tempatan dan luar negara 50/50 iaitu lebih kurang sama dan kami gembira melihat pertambahan sokongan daripada masyarakat tempatan.

 

"Saya berpandangan pertambahan peratusan pengunjung tempatan berbanding pengunjung asing bukanlah disebabkan kekangan perjalanan kerana sejak dua tahun lepas sekatan perjalanan telah dibuka, sebaliknya ia adalah daya tarikan Legoland itu sendiri.

 

"Mungkin sewaktu tempoh pandemik ramai rakyat tempatan mula mengenali Legoland serta melihatnya sebagai lokasi yang menarik untuk dikunjungi," katanya kepada pemberita selepas sesi bersama media di sini hari ini.

 

Turut hadir Pengarah Jualan Pemasaran Legoland Malaysia Resort, Thila Munusamy.

 

Menurut Lim, untuk tahun ini, pihaknya turut menawarkan pas tahunan Legoland kepada pengunjung tempatan, yang mana memberi pelbagai ganjaran dan lebih penjimatan.

 

 

legoland

 

 

"Pas tahunan Legoland yang dibeli tahun ini boleh digunakan untuk sepanjang tahun, jadi saya menjemput semua untuk mengambil peluang ini. Ia juga tanda penghargaan kami atas sokongan yang diberikan pengunjung tempatan," katanya.

 

Sementara itu, Lim berkata, pihaknya bersedia memainkan peranan penting dalam pemulihan pelancongan di Malaysia dengan menarik pelancong asing bagi menyokong sasaran pelancongan antarabangsa daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

 

 

legoland

 

 

Katanya, Legoland Malaysia menawarkan gabungan pengalaman budaya, tarikan baharu dan tawaran pendidikan secara khasnya.

 

"Legoland lebih daripada sekadar taman tema, kami adalah pemangkin pertumbuhan pelancongan di Johor dan seterusnya. Tumpuan kami pada pengalaman budaya yang unik dan hiburan mesra keluarga sejajar dengan visi MOTAC, menjadikan kami 'magnet' untuk pelancong antarabangsa dan domestik," katanya.

 

Katanya, pihaknya giat bekerjasama MOTAC untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan keluarga yang terulung, termasuk inisiatif pemasaran bersama, penyertaan dalam pameran perdagangan dan pembangunan acara bertemakan budaya. 

 

Tambahnya, antara acara menarik yang diperkenalkan sepanjang tahun ini di Legoland Malaysia adalah Splash Carnival, Ninjago Lunar New Year, Lego Hari Raya Extravaganza, Legoland School Challenge, Lego Friends 4D Movie, Brick Fest dan Master Model Builder Search. - DagangNews.com