Pengurusan Laporan Kredit di usia muda adalah suatu keperluan | DagangNews Skip to main content

Pengurusan Laporan Kredit di usia muda adalah suatu keperluan

Oleh AMIRUDIN MOHD NOR

TRANSAKSI secara kredit adalah suatu fenomena biasa dalam kalangan rakyat Malaysia pada masa ini. Tanpa sedar, ia menjadi budaya kerana ‘kebiasaan’ yang diamalkan dari suatu generasi ke generasi seterusnya.

 

Kredit bermaksud melakukan pembelian atau transaksi dengan menangguhkan pembayaran pada masa hadapan.

 

Ringkasnya, ia merupakan hutang hasil daripada pinjaman tidak kira sama ada daripada institusi kewangan seperti bank mahupun institusi bukan kewangan seperti syarikat yang menjual barangan atas talian. 

 

Jika dahulu rekod-rekod pembiayaan dan pinjaman secara kredit ini sukar diperoleh, tetapi kini maklumat ini mudah didapati melalui perkongsian maklumat daripada pangkalan data yang dikongsi bersama institusi kewangan dan juga institusi bukan kewangan.

 

Kemajuan teknologi membantu menjadikan semua maklumat ini boleh diperolehi dihujung jari sahaja.

 

Central Credit Reference Information System (CCRIS) dan Credit Tip Off Services (CTOS) misalnya adalah dua badan yang membekalkan laporan kredit individu dan syarikat-syarikat di Malaysia.

 

Maklumat kredit yang dikongsikan antara lain adalah institusi kewangan yang memberikan kredit, jenis pinjaman, jumlah pinjaman, rekod pembayaran, status tunggakan, status tindakan undang-undang, kebankrapan, dan rujukan perniagaan daripada institusi bukan kewangan.

 

Oleh kerana permintaan terhadap rekod kredit ini semakin meningkat dan ia kerap digunakan, ada keperluan untuk setiap individu memastikan rekod kredit mereka sentiasa berada di dalam keadaan baik.


 

parafrasa

 


Pengurusan sejarah kredit bukan sahaja penting untuk mereka yang telah lama berada di alam pekerjaan, bahkan ia juga sama penting untuk golongan muda yang baru berjinak-jinak dengan dunia kredit dan kewangan.

 

Isunya, ramai yang tidak sedar bahawa setiap transaksi pembiayaan secara hutang kini direkodkan dan menjadi sejarah kredit bagi setiap individu. Dalam diam, ia mencipta latar belakang seseorang dan seolah-olah menjadi ‘kad laporan kewangan’ ringkas seseorang individu.

 

Ini bermakna satu carian daripada institusi kewangan, rakan perniagaan malah bakal majikan boleh memberi gambaran terhadap seseorang khususnya berkaitan pengurusan kewangan dan perwatakan mereka.

 

Sejarah kredit memberi maklumat bagaimana seseorang mengurus hutang pada masa-masa yang lepas. Rekod-rekod ini amat penting kerana data yang diperoleh boleh digunakan untuk membuat analisis dan meramal kelakuan kewangan pelanggan pada masa hadapan.

 

Seterusnya kesimpulan tentang perwatakan seseorang individu ini membantu sesebuah institusi kewangan membuat keputusan yang lebih tepat dan boleh dipercayai misalnya keputusan untuk meluluskan permohonan pinjaman seseorang pelanggan bank.

 

Kepada pihak bank, sejarah kredit ini amat penting untuk melihat perwatakan seseorang terutamanya kepada mereka yang ingin membuat permohonan hutang baharu.

 

Manakan tidak sejumlah RM29.3 bilion pinjaman tertunggak dilaporkan Bank Negara melalui Laporan Statistik Bulanan Bank Negara Malaysia pada Mac 2022. Keadaan ini menjadikan laporan kredit individu itu suatu keperluan bagi pihak bank bagi mencegah risiko pinjaman tidak berbayar.

 

Jika perwatakan penerima kredit tidak baik, berkemungkinan akan berlaku tunggakan bayaran kerana sikap acuh tidak acuh mereka dalam disiplin membayar hutang.


 

parafrasa

 


Di dalam senario berbeza, majikan misalnya boleh mengetahui sedikit latar belakang bakal pekerja dengan menyemak laporan kredit mereka.

 

Sekali lagi, sejarah kredit yang baik memberi gambaran baik tentang bakal pekerja mereka. Jika rekod kredit mereka menunjukkan pelbagai tunggakan hutang dan saman, maka berkemungkinan bakal pekerja ini akan bermasalah jika diambil bekerja.

 

Di peringkat yang lebih ekstrem, suatu hari nanti bakal mertua mungkin akan melakukan carian laporan kredit untuk bakal menantu mereka hanya untuk memastikan perwatakan mereka terutamanya yang berkaitan dengan hutang atau kredit.

 

Bayangkan jika dari umur yang muda kita telah bermasalah dengan laporan kredit ini, seseorang itu mungkin dipinggirkan daripada sistem kewangan kerana dianggap tidak sesuai untuk diberikan kredit.

 

Implikasinya seseorang itu mungkin bermasalah untuk mendapatkan pembiayaan pada masa akan datang seperti pembiayaan rumah, pembiayaan kereta mahupun permohonan pekerjaan baru.

 

Kebimbangan semakin ketara apabila golongan milenial berumur 25 hingga 44 tahun didapati menyumbang 60 peratus daripada jumlah individu diisytihar muflis di Malaysia mengikut Laporan Kajian Pantauan Ekonomi Malaysia oleh Bank Dunia pada Disember 2019. Pastinya sejarah kredit golongan muda ini telah tercalar.

 

Situasi buruk ini pasti menyukarkan kehidupan golongan muda di saat mereka sepatutnya menikmati kehidupan selesa selari dengan peningkatan usia mereka.


 

parafrasa

 


Justeru amat penting untuk setiap individu terutamanya golongan muda untuk menjaga sejarah kredit masing-masing dari peringkat awal kerana ia dinilai pihak-pihak berkepentingan pada masa hadapan.

 

Untuk memastikan sejarah kredit yang baik individu perlu sentiasa memantau pengurusan hutang mereka dengan teliti. Selain itu, ilmu dan kemahiran pengurusan kewangan individu perlu ada bagi memastikan tiada hutang berlebihan yang boleh menggugat kebolehan membayar mereka.

 

Antara lain, rujukan kepada badan seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mungkin dapat membantu memperbaiki tahap pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan seseorang yang seterusnya membantu menghasilkan sejarah kredit yang sihat.

 

Pengurusan sejarah kredit ternyata amat penting dilakukan di awal usia supaya sejarah kredit sentiasa baik berikutan ia memberi refleksi tentang perwatakan seseorang individu.

 

Senario di atas juga membayangkan kemungkinan besar carian laporan kredit individu akan menjadi suatu keperluan di dalam industri pada masa hadapan.

 

Kita tidak mahu golongan muda yang bakal mempunyai keluarga sendiri dan mewarnai dunia pekerjaan bermasalah disebabkan sejarah kredit yang tidak baik. – DagangNews.com

 

AMIRUDIN MOHD NOR adalah Pensyarah Kanan (Kewangan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Melaka