Peniaga dikehendaki mempunyai Sijil Pematuhan Cukai untuk projek kerajaan mulai tahun depan - PM | DagangNews Skip to main content

Peniaga dikehendaki mempunyai Sijil Pematuhan Cukai untuk projek kerajaan mulai tahun depan - PM

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (empat dari kiri) beramah mesra bersama penerima Anugerah Pembayar Cukai Terbaik Tahun 2021 pada Majlis Sambutan Hari HASiL 2022 di Cyberjaya, hari ini. - Foto Bernama
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

CYBERJAYA 1 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan melaksanakan Tax Identification Number (TIN) dan Sijil Pematuhan Cukai (TCC) untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengumpulan hasil negara.

 

Beliau berkata, pada masa sama mulai tahun depan, semua peniaga yang ingin mendapatkan projek dengan kerajaan dikehendaki mempunyai Sijil Pematuhan Cukai sebagai salah satu syarat utama.

 

Katanya, untuk melangkah ke hadapan, beliau pasti Kementerian Kewangan (MOF) dan kesemua agensi di bawahnya akan terus komited untuk menyumbang kepada sebuah kerajaan yang responsif, serta bertanggungjawab dan reformis dari segi fiskal.

 

"Selain fokus kepada menambah baik pasaran buruh negara dan memperkasa sektor perniagaan, salah satu penekanan yang akan diberikan oleh MOF termasuklah reformasi fiskal. Ini melibatkan usaha ke arah sistem percukaian yang lebih cekap dan telus melalui pelbagai sesi libat urus, termasuklah melalui kerjasama dengan agensi MOF, iaitu Keluarga HASiL .

 

"Ke arah ini, kerajaan akan membentangkan Akta Tanggungjawab Fiskal bagi meningkatkan tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan pengurusan fiskal negara. Ini termasuklah merencana Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) yang menekankan sasaran pendapatan yang jelas,  sejajar dengan amalan global terbaik, serta sistem cukai yang lebih telus, adil dan saksama berlandaskan penggunaan data raya," katanya ketika majlis perasmian Hari HASiL ke-26 di sini, hari ini.

 

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

 

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, satu Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 (JPB) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri juga telah ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan pelbagai inisiatif Bajet 2022 dan memastikan keberkesanan serta penyampaian yang cekap.

 

"Secara tidak langsung, kestabilan yang dizahirkan melalui usaha-usaha tersebut akan dapat memastikan negara kita kekal berdaya saing dan terus menjadi tarikan pelabur asing. Semua ini akan terus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, serta memperkukuhkan momentum pemulihan yang berjaya kita capai baru-baru ini.

 

Beliau turut mengingatkan di sebalik pemulihan yang berjaya dikecapi baru-baru ini, negara tidak boleh leka terutamanya apabila berada di persimpangan jalan yang kritikal dalam menuju ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi.

 

Perdana Menteri berkata, unjuran pertumbuhan ekonomi dunia tahun ini dijangka berkurangan berbanding apa yang dicapai pada tahun 2021, berikutan ancaman varian Omicron, peningkatan kadar inflasi, serta gangguan rantaian bekalan dunia, menurut Bank Dunia dan IMF.

 

Katanya, unjuran tersebut turut didorong oleh permintaan terpendam yang mula reda, serta pengurangan sokongan fiskal dan rangsangan ekonomi oleh kerajaan-kerajaan di seluruh dunia. 

 

"Malah, baru-baru ini, kita pula berhadapan dengan cabaran kemasukan tentera Rusia di Ukraine yang telah meningkatkan kadar inflasi, di mana harga minyak mentah telah melebihi paras AS$100 setong, manakala harga komoditi lain telah melonjak akibat rantaian bekalan yang terjejas," katanya.

 

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan berusaha sedaya upaya dalam mengimbangi perbelanjaan segera demi mengurangkan beban ke atas kos sara hidup Keluarga Malaysia melalui pelbagai bentuk bantuan, serta memastikan kemampanan fiskal negara dalam jangka masa sederhana dan panjang.

 

Beliau berkata, bagi jangka masa panjang, Malaysia berhadapan dengan cabaran perubahan iklim, peralihan negara kepada populasi tua, serta isu struktur yang mengambil masa untuk diselesaikan.

 

"Sehubungan itu, selain dari memberi nafas kepada aspirasi Rancangan Malaysia Yang Ke-12, strategi dan inisiatif Bajet 2022 digubal rapi bagi meneruskan momentum pemulihan jangka pendek, dan juga menerapkan dasar-dasar penyusunan semula jangka panjang.

 

Beliau berkata, bagi tahun ini, kerajaan mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berkembang sebanyak 5.5 hingga 6.5%, sejajar dengan unjuran oleh Tabung Kewangan Antarabanhsa (IMF) (5.7%) dan Bank Dunia (5.8%).

 

Katanya, pertumbuhan itu dijangka didorong oleh Bajet 2022 yang mengembang, serta pemulihan aktiviti ekonomi dan sosial; penyambungan semula projek dengan kesan pengganda yang tinggi serta permintaan luar yang kukuh akan terus memacu pertumbuhan.

 

Beliau yakin bahawa pertumbuhan itu akan turut disumbang oleh kerjasama berterusan antara Kementerian Kewangan dan LHDN, terutamanya berkenaan inisiatif Bajet 2022, termasuklah pelaksanaan Cukai Makmur yang akan dikenakan secara 'one-off' kepada syarikat yang meraih keuntungan luar biasa sepanjang tempoh pandemik. 

 

"Hasil dari cukai ini akan digunakan untuk memastikan sistem kesihatan awam lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang ancaman di masa hadapan," katanya.

 

Beliau turut menyeru seluruh Keluarga HASiL untuk mengekalkan momentum positif yang telah berjaya dicapai, dan terus berusaha untuk melakarkan kejayaan yang lebih cemerlang pada tahun ini dan akan datang.

 

"Saya bersetuju dengan pendekatan HASiL mengenai keperluan untuk meningkatkan pematuhan cukai secara sukarela melalui A.E.S, iaitu Awareness (Kesedaran Cukai), Education (Pendidikan Cukai) dan Services (Perkhidmatan Cukai). 

 

"Melihat kepada strategi dan inisiatif yang telah digariskan tahun ini, saya yakin bahawa HASiL mampu untuk bertindak secara kreatif dan inovatif dalam mencapai objektifnya, sekaligus mengekalkan prestasi kutipan cukai yang tinggi demi kelestarian negara di masa depan, InsyaAllah," katanya. - DagangNews.com