Saudara Pengarang,
Era teknologi moden saat ini segalanya berkembang dengan pesat dan laju, ini termasuklah di dalam bidang perniagaan. Jika kita lihat trend membeli belah di Malaysia secara dalam talian atau online semakin hari semakin meningkat secara drastik. Ini adalah ekoran daripada kesan pandemik COVID-19.
Pembeli akan menggunakan pelbagai platform dalam talian untuk membeli-belah, manakala peniaga pula akan bersaing antara satu sama lain untuk mengenal pasti ciri-ciri pelanggan.
Secara tradisional peniaga boleh mengenali ciri-ciri pelanggan mereka dengan melihat secara fizikal, berbeza secara dalam talian di mana peniaga perlu bijak untuk mengenali pelanggan mereka dengan data yang sedia ada.
Di sinilah konsep Data Raya atau “Big Data” perlu diadaptasi di dalam bidang perniagaan dalams talian di mana konsep ini menggambarkan jumlah data yang terlalu banyak, data juga dibahagikan kepada data terstruktur dan data tidak terstruktur, yang membanjiri perniagaan setiap hari.
Bagi perniagaan dalam talian, jumlah data yang kita peroleh daripada Data Raya atau “Big Data” tidak penting tetapi yang paling penting adalah bagaimana sesebuah organisasi mengguna pakai data yang diperoleh. Data tersebut boleh dianalisis untuk mendapatkan suatu keputusan yang lebih baik dan merancang strategik perniagaan yang lebih jelas.
Hasil daripada analisis ini sebenarnya memudahkan para peniaga untuk meningkatkan kepuasan pelanggan, mempercepatkan operasi syarikat dan juga dapat memberi keputusan dengan cepat dan tepat.
Kelebihan Data Raya atau “Big Data” yang boleh diperoleh ialah pihak organisasi dapat mengumpul data yang mengandungi butiran peribadi pengunjung seperti umur, jantina, lokasi dan sebagainya.
Peniaga juga dapat mengetahui produk mereka yang paling banyak dilihat dan dibeli oleh pelanggan. Mereka juga boleh menilai tingkah laku pelanggan dan mencadangkan produk yang serupa.
Ini dapat meningkatkan jumlah jualan dan seterusnya menjana pendapatan. Sekiranya ada produk yang dimasukkan ke dalam ‘cart' tetapi tidak dibeli oleh pelanggan pada akhirnya, secara automatik big data boleh menghantar tawaran promosi kepada pelanggan tertentu menerusi e-mel atau mesej.
Oleh itu adalah disarankan kepada peniaga dalam talian supaya mengadaptasikan penggunaan Data Raya atau “Big Data” ke dalam perniagaan mereka.
Sudah sampai masanya semua perniagaan secara dalam talian yang berdaftar di Malaysia menggunakan kaedah digital demi melestarikan Malaysia ke arah ekonomi digital. - DagangNews.com
Nurul Ain Mustakim
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka