Peningkatan gaji minimum akan bunuh perniagaan - Persekutuan Majikan Malaysia | DagangNews Skip to main content

Peningkatan gaji minimum akan bunuh perniagaan - Persekutuan Majikan Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Feb - Cadangan meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500 disifatkan sebagai 'membunuh' sektor perniagaan yang kini berada dalam fasa pemulihan ekonomi. 

 

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman J.P berkata, majoriti perniagaan dalam negara masih dalam keadaan tidak bersedia melaksanakan cadangan itu dan sedang bangkit semula akibat pandemik COVID-19 dan bencana banjir. 

 

Beliau berkata, lebih banyak usaha harus ditumpukan ke arah pemulihan perniagaan sektor swasta dan mengawal peningkatan kos produk serta perkhidmatan. 

 

"Tempoh ini bukan masa sesuai melaksanakan sebarang kenaikan gaji minimum, apatah lagi peningkatan itu pastinya menaikkan kos barang, perkhidmatan dan operasi. Kita harus ingat bahawa kebanyakan perniagaan di Malaysia adalah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan 98.9 peratus berada dalam kumpulan ini. 

 

"Jadi, apabila kita bercakap tentang gaji dan kos, kita mesti memikirkan kelangsungan hidup serta kemampanan mereka. PMKS sedang menderita dan sedikit kenaikan kos akan menambah beban sekali gus menyebabkannya ditutup, apa lagi kenaikan RM300 hingga RM400 sebulan atas gaji minimum sedia ada," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Syed Hussain berkata, kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 juga sebahagian besarnya disalurkan kepada buruh asing kerana pekerja tempatan telah pun menerima gaji lebih tinggi daripada RM1,500. 

 

Katanya, ia sekali gus meningkatkan aliran keluar wang kerana dianggarkan secara purata pekerja asing menghantar semula sejumlah RM4 bilion tambahan setiap tahun bagi setiap kenaikan gaji minimum RM100. 

 

"Peningkatan gaji sebanyak RM300 ke RM400 akan menyebabkan aliran keluar tambahan antara RM12 hingga RM14 bilion setahun. Dianggarkan pada masa ini pekerja asing yang sah menghantar kira-kira RM34 bilion setiap tahun melalui saluran rasmi ke negara sumber. 

 

"Pekerja yang gajinya ketika ini jauh melebihi gaji minimum juga boleh hilang motivasi tanpa pelarasan gaji. Sebarang kenaikan gaji minimum akan memberi manfaat kepada pekerja gajinya lebih rendah daripada kadar gaji minimum negara yang baharu dan sebahagian besar daripada mereka adalah pekerja asing," katanya. - DagangNews.com