Peningkatan kadar penyewaan di pusat beli-belah, MIDF Research ramal pendapatan stabil bagi sektor REIT | DagangNews Skip to main content

Peningkatan kadar penyewaan di pusat beli-belah, MIDF Research ramal pendapatan stabil bagi sektor REIT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Julai - MIDF Research meramalkan prospek pendapatan yang stabil untuk amanah hartanah pelaburan (REIT) disokong peningkatan kadar penyewaan di pusat beli-belah.

 

Katanya, kadar penyewaan terkini kompleks beli-belah setakat suku pertama tahun ini mencatatkan peningkatan kepada 77.6%.

 

"Kami berpendapat, pemulihan berterusan dalam kadar penyewaan adalah disebabkan oleh bilangan pembeli yang lebih tinggi di pusat beli-belah, yang menyokong jualan penyewa dan peningkatan permintaan untuk ruang runcit.

 

"Melihat ke hadapan, kami menjangkakan kadar penyewaan kompleks beli-belah kekal di bawah 80% apabila bekalan ruang runcit menjadi stabil," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan pendapatan REIT runcit kekal menggalakkan pada suku kedua tahun ini.

 

Mereka menjangkakan pertumbuhan pendapatan Pavilion REIT kekal stabil pada 2QFY24 selepas mencatat pertumbuhan pendapatan dua digit sebanyak 18.7%dari tahun ke tahun pada 1QFY24 disebabkan sumbangan daripada Pavilion Bukit Jalil dan pendapatan sewa yang lebih tinggi daripada Pavilion KL Mall.

 

Tinjauan pendapatan sewa dari Pavilion KL Mall adalah positif berikutan jumlah pengunjung yang tinggi yang sebahagiannya disokong kehadiran pelancong yang lebih tinggi.

 

Sementara itu, pendapatan IGB REIT dijangka disokong oleh pertumbuhan organik pengembalian sewa yang positif memandangkan Mid Valley Mall dan The Gardens Mall terus menikmati jumlah pengunjung yang tinggi dan kadar penghunian yang tinggi hampir 100%.

 

"Kami menjangkakan pendapatan Axis REIT akan kekal stabil berikutan permintaan yang sihat untuk ruang industri yang dijangka menyokong pengembalian sewa yang positif," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan positif terhadap sektor itu. - DagangNews.com