Peningkatan perbelanjaan penjagaan kesihatan awam, HLIB optimis terhadap prospek UMediC | DagangNews Skip to main content

Peningkatan perbelanjaan penjagaan kesihatan awam, HLIB optimis terhadap prospek UMediC

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research optimis terhadap prospek UMediC Group Berhad didorong potensi pertumbuhan segmen pembuatannya dan keupayaan untuk memanfaatkan jangkaan peningkatan dalam perbelanjaan penjagaan kesihatan awam.

 

Kerajaan komited untuk meningkatkan perbelanjaan penjagaan kesihatan awam kepada 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada anggaran 2.9% pada 2021.

 

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan peningkatan dalam pembukaan tender bagi perolehan peralatan perubatan daripada sektor awam pada Julai dan Ogos.

 

Ini bagi memastikan penghantaran peralatan tepat pada masanya menjelang Disember 2023, memandangkan proses tender standard mengambil masa kira-kira empat bulan dari permulaan hingga siap.

 

"Kami yakin dengan prestasi segmen pengedaran dalam 1HFY24, didorong oleh jangkaan kemasukan pesanan sektor awam," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Pada 1HFY23, UMediC menghadapi kelewatan dalam tempahan peralatan perubatan sektor awam disebabkan perubahan dalam kerajaan.

 

Lazimnya, UMediC akan menyaksikan jualan peralatan perubatan yang lebih kukuh kepada sektor awam pada separuh kedua kerana Kementerian Kesihatan (KKM) menggunakan bajet yang diperuntukkan bagi mendapatkan peralatan perubatan.

 

Secara berasingan, kumpulan itu juga berada di landasan yang betul untuk melancarkan dua produk baharu menjelang akhir 2023.

 

"Kami sedar bahawa proses audit pensijilan Conformite Europeenne (CE) untuk nebuliser praisi telah selesai, dan UMediC menyasarkan untuk mengkomersialkan produk sebaik sahaja pensijilan diterima. 

 

"Kami menjangkakan nebuliser praisi akan menyumbang dengan lebih bermakna bermula dari tahun hadapan," katanya.

 

HLIB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.03. - DagangNews.com