PenjanaKerjaya kini meliputi pekerjaan sementara dan gig - PM | DagangNews Skip to main content

PenjanaKerjaya kini meliputi pekerjaan sementara dan gig - PM

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 17 Mac - Bagi membantu golongan yang kehilangan pendapatan atau pekerjaan, kerajaan akan memperluaskan skop insentif program PenjanaKerjaya untuk meliputi pekerjaan sementara dan pekerjaan gig. 

 

Jelas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan memperuntukkan RM300 juta yang akan memanfaatkan 60,000 pekerja, di mana setiap daripada mereka akan menerima RM600 ringgit selama tempoh maksimum enam bulan.

 

“Bagi majikan yang menawarkan pekerjaan jangka pendek ataupun platform penyedia perkhidmatan gig yang berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),  mereka akan menerima RM200 ringgit bagi setiap pekerja yang ditempatkan,” katanya ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang bernilai RM20 bilion hari ini.

 

Baca : PM umum 20 inisiatif di bawah Pemerkasa bernilai RM20 bilion

 

Untuk rekod, Muhyiddin berkata, kerajaan telah menyalurkan lebih daripada RM14.4 bilion bagi membiayai program subsidi upah (PSU) yang telah membantu 2.7 juta orang pekerja dan lebih daripada 330 ribu majikan, sehingga 5 Mac 2021.

 

Menyedari masih terdapat sektor yang terkesan, Muhyiddin berkata, kerajaan akan memperuntukkan RM700 juta ringgit bagi melanjutkan PSU 3.0 selama tiga bulan lagi secara lebih bersasar. 

 

“Ini terutamanya kepada sektor pelancongan, perdagangan borong dan runcit, serta perniagaan lain yang ditutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti pusat sukan gimnasium dan spa. 

 

“Inisiatif ini dijangka membantu 400,000 pekerja dan 37,000 majikan,” ujarnya. 

 

Tambah Muhyiddin, program perantisan di bawah PenjanaKerjaya juga akan ditambah baik setelah mengambil kira maklum balas daripada pihak industri yang mendapati tempoh 3 bulan program itu agak singkat dan tidak mencukupi. 

 

Oleh itu, katanya, kerajaan akan melanjutkan tempoh program berkenaan selama enam bulan, di mana pelatih yang mengikuti program itu akan diberi insentif sebanyak RM800 bagi. 

 

Sementara itu, bagi menangani masalah pengangguran, beliau memberitahu, kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara, atau NEC yang menyasarkan pewujudan 500,000 peluang pekerjaan. 

 

Katanya, sehingga akhir Februari, sebanyak 66,000 peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan. - DagangNews.com