IPOH 23 Dis - Bantuan khas kewangan satu setengah bulan gaji atau minimum RM2,000 akan diterima semua penjawat awam negeri Perak sekali gus menjadi berita menggembirakan.
Ia termasuk Ex-Officio, semua guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan serta pekerja sambilan harian (PSH).
Pembayaran sepenuhnya akan dibuat pada tahun semasa sekali gus membuktikan penghargaan kerajaan negeri kepada komitmen penjawat awam.
Perak semalam membentangkan Belanjawan 2023 berjumlah RM1.19 bilion dengan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM794 juta dan pembangunan RM395 juta.
Bertemakan 'Perak Makmur, Rakyat Sejahtera', belanjawan itu merangkumi lima fokus utama iaitu kesejahteraan rakyat, tadbir urus projek berkepentingan, kelestarian alam sekitar, keterjaminan bekalan makanan serta pembangunan modal insan dan belia.
Belanjawan Perak 2023 turut meluluskan peruntukan kepada jentera pentadbiran kerajaan negeri sebanyak RM67.5 juta membabitkan pertambahan RM19.5 juta berbanding 2022.
Ia merangkumi peruntukan kepada semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Yang Dipertua Dewan Negeri pada kadar RM300,000 setahun.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad semasa membentangkan belanjawan tersebut berkata, ia bagi pelaksanaan projek infrastruktur kecil, program, dan bekalan.
"Tambahan daripada itu RM40,000 turut disediakan bagi empat program perayaan utama yang mana implikasi kewangan bagi keseluruhan berjumlah RM20.4 juta," katanya.
Peruntukan Pusat Khidmat ADUN diteruskan dengan kadar RM7,000 sebulan iaitu dengan jumlah keseluruhan menghampiri RM5 juta setahun bagi semua 59 Pusat Khidmat DUN.
DUN Perak terdiri daripada 24 kerusi Pakatan Harapan dan enam Barisan Nasional manakala 26 adalah
Perikatan Nasional. - DagangNews.com