Penjawat awam perlu profesional, pastikan perkhidmatan tidak terjejas - CUEPACS | DagangNews Skip to main content

Penjawat awam perlu profesional, pastikan perkhidmatan tidak terjejas - CUEPACS

Adnan Mat

Adnan Mat 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Penjawat awam akan terus dengan prinsip kebebasan tanpa dipengaruhi sebarang ideologi politik dalam usaha meneruskan perkhidmatan menjaga kesejahteraan negara.

 

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, penjawat awam perlu bertindak secara profesional selaras dengan peranan mereka sebagai tonggak kepada pentadbiran kerajaan.

 

"Penjawat awam perlulah bijak mendepani cabaran dan memberi tumpuan kepada pengurusan risiko serta sentiasa di lapangan untuk memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas terutama dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19. 

 

"Walaupun kerajaan datang dan pergi bersilih ganti, perkhidmatan awam tetap kekal setia dalam neutraliti," jelas beliau dalam satu kenyataan.

 

Dalam kenyataan sama, beliau turut memberi penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan Jemaah Menteri yang telah memberi khidmat terbaik sehingga akhir tempoh pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional sejak 1 Mac 2020 lalu.

 

Menurutnya, jasa dan pengorbanan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan Jemaah Menteri amat dihargai CUEPACS dan penjawat awam terutama dalam membela dan memberi khidmat kepada rakyat dan negara.

 

Tambah beliau, komitmen yang ditonjolkan itu diharapkan dapat diteruskan oleh kerajaan baharu yang akan dibetuk kelak.

 

"CUEPACS berharap kerajaan baru yang dibentuk dapat terus menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara. 

 

"Walau apa jua kerajaan yang memerintah, adalah menjadi tanggungjawab untuk memberi keutamaan kepada rakyat dan negara terlebih dahulu daripada kepentingan lain.

 

"Penjawat awam akan terus memberikan perkhidmatan berkualiti dan berkesan untuk rakyat serta negara bersandarkan, taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah," ujar beliau lagi. - DagangNews.com