Penjualan saham dalam Faber Sindoori bantu pengembangan UEM Edgenta | DagangNews Skip to main content

Penjualan saham dalam Faber Sindoori bantu pengembangan UEM Edgenta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 Nov - Langkah UEM Edgenta Bhd, melupuskan 51% kepentingannya dalam Faber Sindoori Management Service Pte Ltd mungkin menyaksikan sedikit pencairan dalam pendapatan tetapi secara keseluruhan, ia akan mempercepatkan rancangan pengembangan kumpulan.

 

Ini mendorong RHB Investment Bank mengekalkan saranan 'beli' terhadap UEM Edgenta dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.46 sesaham. 

 

Menurutnya, kumpulan dijangka mengalami kecairan 5% daripada anggaran pendapatan bagi 2022 selepas langkah pelupusan itu.

 

Namun, firma itu mengekalkan unjuran pendapatannya sementara menanti transaksi itu diselesaikan sepenuhnya menjelang 31 Disember 2022.

 

"Kami menjangkakan UEM Edgenta akan mendapat manfaat daripada pembukaan semula ekonomi, yang sepatutnya menyaksikan prestasi separuh kedua yang kebiasaannya lebih kukuh.

 

"Ini disokong oleh kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan turapan yang lebih tinggi daripada PLUS Expressways ekoran volum trafik jalan raya yang lebih tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Baca : UEM Edgenta cadang lupus 51% kepentingan dalam Faber Sindoori pada harga RM40 juta

 

Pada Rabu, UEM Edgenta bercadang melupuskan 51% pegangan dalam Faber Sindoori yang berpangkalan di India pada harga 700 juta rupee (RM40 juta) secara tunai kepada Apollo Sindoori Hotels Ltd (ASHL).

 

Hasil daripada penjualan itu akan digunakan untuk melaksanakan pelaburan berpotensi termasuk perbelanjaan modal untuk peluang pertumbuhan dalam tempoh 12 bulan dari penerimaan hasil.

 

RHB Investment berkata, UEM Edgenta dijangka mengalami kerugian sekali sahaja daripada langkah tersebut selepas mengambil kira cukai keuntungan modal dan transaksi lain berkaitan perbelanjaan. 

 

Setakat 11.10 pagi, harga sahamnya menokok 1 sen atau 0.94% kepada RM1.07 dengan 34,000 saham diniagakan. - DagangNews.com