Penstabilan pendapatan diikuti Cukai Makmur | DagangNews Skip to main content

Penstabilan pendapatan diikuti Cukai Makmur

Oleh Prof. Madya Dr. Ong Tze San

 

 

SELARAS dengan konsep "Keluarga Malaysia” pimpinan kerajaan, Bajet 2022 memberi jaminan bahawa tiada seorang rakyat atau perniagaan yang akan ketinggalan atau diabaikan dalam pembangunan Malaysia. Ia mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat.

 

Bajet 2022 menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM332.1 bilion, dengan matlamat memulihkan ekonomi kesan daripada pandemik COVID-19. Malaysia telah menunjukkan keupayaan dalam menghadapi pandemik itu.

 

Bajet itu juga memberi tumpuan kepada semua aspek seperti pendidikan, peningkatan dalam pasaran pekerjaan, penjagaan kesihatan, sertakumpulan B40, dan dijangkakan akan membantu pemulihan ekonomi domestik serta meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

 

Ia harus melindungi kebajikan rakyat keseluruhan serta membantu Malaysia mempertahankan daya saing di mata dunia. 

 

Justeru, diharap  agar pelaksanaan dan langkah penjanaan hasil seimbang Bajet 2022 untuk Malaysia kekal menjadi tarikan dan lokasi pelaburan pilihan utama.

 

Kerajaan harus memberi ruang dan masa yang mencukupi kepada rakyat dan syarikat perniagaan untuk menerima Bajet 2022. 

 

Ini termasuk  langkah peralihan yang sesuai harus diterima pakai apabila perlu, untuk menyediakan masa yang cukup kepada firma menyesuaikan diri.

 

 

tengku zafrul
Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz membentangkan Bajet 2022 di Parlimen pada 29 Oktober 2021.

 

 

Cukai Makmur

Pengenalan cukai khas iaitu “Cukai Makmur,” yang mencadangkan syarikat dengan pendapatan bercukai  sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar  24% dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33% bagi Tahun Taksiran 2022, memberi kesan kepada syarikat terbabit.

 

Berdasarkan liputan Affin Hwang Capital terhadap 118 syarikat tersenarai, sebanyak 85 syarikat akan terjejas oleh Cukai Makmur dan menyebabkan cukai tambahan RM9.5 bilion.

 

Cukai Makmur mempunyai kesan paling ketara ke atas syarikat besar yang terlibat. Pendapatan sehingga RM100 juta akan terus dikenakan cukai pada kadar 24%. Tidak dinafikan pengenalan Cukai Makmur dapat meningkatkan pendapatan kerajaan secara langsung, tetapi kesan negatif daripadanya juga tidak boleh diabaikan.

Bajet 2022

Kesan Negatif

“Cukai Makmur” juga menimbulkan kebimbangan para pelabur di pasaran saham. Contohnya, kesan negatif sudah keterlihatan dengan kejatuhan Indeks Komposit Bursa Saham Kuala Lumpur (KLCI) lebih daripada 30 mata atau lebih 2 peratus dari 1,562.31 jatuh kepada 1,530.92, selepas pengumuman Bajet 2022. Pelabur bimbang dengan penerimaan dividen yang lebih rendah bagi tahun hadapan yang disebabkan cukai itu.

 

“Cukai Makmur” juga memberikan impak negatif kepada sektor kewangan. Ini dibuktikan oleh kejatuhan Indeks Perkhidmatan Kewangan Bursa lebih daripada 430 mata atau melebihi 2% berikutan dengan pengumuman cukai itu.

 

Kejatuhan harga saham bank-bank akibat pengumuman Cukai Makmur termasuk Maybank Bhd, Public Bank Bhd, Hong Leong Bank Bhd, RHB Bank Bhd, CIMB Groups Holding Bhd dan AMMB. Ini sekali lagi menunjukkan reaksi negatif pasaran saham terhadap Cukai Makmur.

 

Kebimbangan syarikat-syarikat besar terhadap Cukai Makmur juga memberikan kesan negatif ke atas keyakinan para pelabur terutamanya pelabur asing dalam jangka masa pendek. 

 

Hal ini kerana Cukai Makmur akan menyebabkan untung bersih yang lebih rendah untuk tahun 2022.

 

Walaupun cukai baharu ini dapat meningkatkan penjanaan pendapatan kerajaan dengan segera, namun besar kemungkinan dan dijangkakan ia akan menimbulkan kesan sampingan negatif seperti peningkatkan aktiviti penstabilan pendapatan dalam kalangan syarikat-syarikat besar yang terbabit, meskipun Kerajaan menegaskan bahawa cukai itu akan menjadi cukai korporat sekali sahaja ke atas syarikat yang terlibat.  Malah, pelabur bimbang mungkin Cukai Makmur akan berterusan selepas 2022.

 

Penstabilan pendapatan merupakan satu daripada kaedah pengurusan pendapatan.

 

Penstabilan pendapatan adalah tindakan menggunakan kaedah perakaunan untuk melancarkan perubahan (turun naik) dalam pendapatan bersih daripada tempoh pelaporan yang berbeza.

 

Contoh penstabilan  pendapatan adalah seperti mengalihkan hasil dan perbelanjaan dari satu tempoh perakaunan ke tempoh seterusnya untuk membentangkan tanggapan palsu mengenai pendapatan semasa yang dijana. 

 

 

Prof. Madya Dr. Ong Tze San

 

 

Risiko Manipulasi

Syarikat-syarikat besar mungkin memanipulasi penyata kewangan untuk mengelakkan pembayaran Cukai Makmur. Aktiviti-aktiviti penstabilan pendapatan mungkin akan dilakukan syarikat-syarikat untuk tahun 2022 kerana cukai itu hanya dikenakan untuk tahun taksiran 2022 sahaja.

 

Dapatan penyelidikan juga menunjukkan korelasi rapat di antara penstabilan pendapatan dan kadar cukai yang lebih tinggi.

 

Satu daripada senario berkenaan amalan penstabilan pendapatan ialah perubahan kadar cukai pendapatan, sama ada berubah kepada kadar yang lebih tinggi atau kepada kadar yang lebih rendah.

 

Syarikat-syarikat besar yang tertakluk kepada Cukai Makmur akhirnya mungkin akan cuba memindahkan cukai kepada pihak ketiga atau pelanggan mereka.

 

Hal ini akan  menyebabkan penetapan harga produk atau perkhidmatan yang lebih tinggi.

 

Walaupun “Cukai Makmur” dapat meningkatkan hasil kerajaan secara langsung dalam masa yang singkat, implikasinya tidak boleh diabaikan.

 

Kerajaan perlu mengambil langkah sewajarnya bagi mengawal dan mengurangkan amalan penstabilan pendapatan. 

 

Selaras dengan pelan pemulihan dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), peruntukan Bajet 2022 diharap dapat membawa Malaysia keluar daripada krisis kesan daripada COVID-19 dan melindungi kebajikan rakyat keseluruhan.    – DagangNews.com

 

 

Prof. Madya Dr. Ong Tze San adalah pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia
Prof. Madya Dr. Ong Tze San adalah
pensyarah di Sekolah Perniagaan
dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia