Penyelesaian BOD, jejaskan Tan Chong Motor - Firma | DagangNews Skip to main content

Penyelesaian BOD, jejaskan Tan Chong Motor - Firma

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 April - CGS-CIMB melihat perkembangan terbaharu Tan Chong Motor (TCM) berhubung penyelesaian penyata tuntutan (BOD) berjumlah RM108 juta adalah negatif kepada kumpulan. 

 

Tan Chong baru-baru ini mengumumkan, pihaknya telah memfailkan perintah persetujuan bagi BOD dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia. 

 

Di bawah perjanjian itu, Tan Chong akan membuat pembayaran sekali sebanyak RM10.8 juta pada 20 April 2021 dan bayaran ansuran RM2.7 juta bagi tempoh 36 bulan mulai Mei 2021 hingga April 2024 untuk menyelesaikan baki RM97.2 juta.

 

Tahun lalu, anak syarikatnya, Tan Chong Motor Assemblies menerima BOD pada 15 Mei 2020 dari pihak Kastam berjumlah RM180 juta bagi duti eksais tertunggak untuk tempoh antara 1 November 2016 hingga 31 Oktober 2019.

 

"Ini satu perkembangan yang negatif kerana difahamkan ketika persidangan video prestasi kewangan suku keempat 2020 pada 2 April lalu, pihaknya memaklumkan telah membuat penyelesaian di luar mahkamah dengan Kastam pada tahun lalu," menurut penganalisis CGS-CIMB, Mohd. Shanaz Noor Azam dalam nota kajian hari ini.

 

Disebabkan tambahan kos daripada penyelesaian BOD itu, firma berkenaan mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) Tan Chong bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023. 

 

Ini kerana katanya, kumpulan perlu menanggung perbelanjaan purata sebanyak RM32.4 juta setahun antara 2021 dan 2023 manakala baki selebihnya bagi RM10.8 juta pada 2024.

 

Malah, Tan Chong juga terpaksa menangung kos penyelesaian BOD yang tinggi pada suku kedua ini berjumlah RM16.2 juta. 

 

"Kami kini menjangkakan kumpulan akan merekodkan kerugian bersih RM2 juta berbanding keuntungan bersih, RM18 juta bagi tahun kewangan 2021. 

 

"Walaupun penyelesaian BOD ini adalah kejutan negatif bagi kami, tetapi kami percaya ia membolehkan kumpulan mengembalikan fokus kepada operasi," katanya.

 

Mohd. Shanaz berkata, kumpulan dijangka mengekalkan 3% penguasaan pasaran bagi jualan automatif di Malaysia pada suku kedua ini, dipacu oleh pelancaran baharu seperti Almera dan Navarra. 

 

"Namun, kami melihat prospek pertumbuhan yang mencabar bagi kumpulan, berikutan persaingan sengit daripada jenama Jepun yang lain seperti Honda dan Toyota," tambahnya. 

 

Firma itu menjangkakan peningkatan yang minimum daripada operasi di luar negara pada tahun ini dengan mengambil kira situasi pandemik di rantau ini, penamatan sistem pengedaran Nissan di Vietnam dan ketidaktentuan situasi politik di Myanmar. 

 

CGS-CIMB bagaimanapun mengulangi saranan 'Reduce' bagi Tan Chong dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM1.00. - DagangNews.com