IPOH 15 Julai - Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) melancarkan Program Tanaman Integrasi Lambor yang diyakini mampu menjadi pemangkin dalam mendepani isu sekuriti makanan khususnya di negeri Perak.
Program yang dilancarkan pada Jun lalu dibangunkan melalui kaedah pertanian integrasi di kawasan seluas 72.84 hektar (180 ekar) merangkumi tanaman kontan, nanas serta kenaf.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yahanis Yahya berkata, dua syarikat bersama pekebun individu telah diberikan sewaan tanah bagi memajukan projek tersebut.
"Perak SADC telah memberikan sewaan kepada Aexis Agriventure Sdn. Bhd. (Aexis Agriventure) untuk melaksanakan penanaman nanas MD2 di kawasan seluas 40.46 hektar (100 ekar).
"Sebanyak 8.09 hektar (20 ekar) diperuntukkan kepada Agrownas bagi pembangunan tanaman sama (nanas MD2) serta 24.28 hektar (60 ekar) lagi dikhususkan kepada tanaman kontan yang bakal dimajukan enam pekebun kecil terpilih," ujarnya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, Perak SADC telah memberikan hak guna sementara sebahagian tanah sewaan Aexis Agriventure bagi pembangunan kawasan penanaman kontan seluas 4.04 hektar (10 ekar).
Kata Yahanis, langkah itu dibuat atas faktor memahami kekangan Aexis Agriventure untuk membangunkan tanaman nanas di kawasan yang luas berikutan modal permulaan yang tinggi serta faktor kekurangan sulur.
"Bersebelahan kawasan sama turut ditanam kenaf seluas 8.90 hektar (22 ekar) di mana sekitar dua ekar daripadanya untuk diproses sebagai makanan ternakan lembu di Ladang Dusun Rasau Perdana milik Perak SADC," ujarnya.
Dalam pada itu, Perak SADC juga bakal mewujudkan Skim Sekuriti Makanan Usahawan Perak SADC yang melibatkan kerjasama dengan usahawan terpilih.
Melalui skim ini, pembiayaan projek disalurkan sepenuhnya oleh Perak SADC manakala usaha pertanian dijalankan usahawan berkenaan melibatkan sayur-sayuran di kawasan seluas 4.04 hektar (10 ekar).
"Buat permulaan, kita bakal menyalurkan peruntukan sekitar RM300,000 untuk pembangunan projek melalui skim ini khususnya di Ladang Integrasi Lambor.
"Insyaallah ia akan diperkenalkan di ladang-ladang lain sekiranya membuahkan hasil" ujar Yahanis. - DagangNews.com