KUALA LUMPUR 1 Mac - Perancangan Felda terhadap FGV Holdings Bhd. masih menjadi tanda tanya dalam kalangan pelabur terutama apabila tamatnya tawaran pengambilalihan mandatori (MO) yang kini dilanjutkan sehingga 3 Ogos 2022.
Bagaimanapun, penganalisis Kenanga Research, Teh Kian Yeong percaya ia hanya memberi impak yang neutral kepada pelabur minoriti.
Katanya, setakat ini Felda memiliki 80% pegangan dalam FGV, dan agensi itu mempunyai beberapa pilihan yang boleh dilaksanakan termasuk melanjutkan tempoh MO berkenaan
"Selain itu, Felda juga boleh menaikkan harga tawaran (daripada RM1.30 sesaham) untuk menyahsenarai FGV secepat mungkin.
"Ia juga boleh menangguhkan langkah ini buat sementara waktu dengan menjual 5% pada keuntungan untuk memenuhi 25% sebaran pemegangan saham," katanya dalam nota kajian hari ini.
Selepas membeli 14% kepentingan daripada 2 pemegang saham institusi pada Disember 2020, Felda mencetuskan MO dan menawarkan untuk membeli keseluruhan pegangan FGV pada RM1.30 sesaham pada Januari 2021.
Pada Februari 2021, sebaran pegangan saham awam FGV telah menurun daripada 49.5% sebelum ini kepada 24%, di bawah keperluan 25%.
Sejak itu, MO berkenaan telah dilanjutkan beberapa kali dengan tamat tempoh terbaharu pada 3 Ogos 2022.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, FGV merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM1.17 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21), melonjak 8 kali ganda berbanding RM146 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat 39% kepada RM19.57 bilion, rekod tertinggi berbanding RM14.07 bilion pada 2020.
Baca : Untung bersih FGV melonjak 8 kali ganda kepada RM1.17 bilion bagi FY21
Purata harga MSM yang direalisasikan pada FY21 meningkat sebanyak 37% kepada RM3,671 satu tan metrik (MT), berbanding RM2,675 MT pada FY20.
Sementara itu, bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, FGV mencatatkan peningkatan PATAMI sebanyak RM465 juta, lebih 3 kali ganda daripada RM131 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi suku yang ditinjau, pendapatan kumpulan meningkat 54% tahun ke tahun kepada RM6.18 bilion, manakala keuntungan operasi meningkat kepada RM633 juta berbanding RM222 juta yang dicatatkan pada tempoh sama 2020.
Menurut Kian Yeong, FGV dijangka menikmati harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi bagi tahun kewangan 2022 (FY22) sekitar RM4,000 satu tan metrik (MT) manakala RM3,500 MT bagi FY23.
Katanya, pengeluaran buah tandan segar dijangka mendatar sekitar 4 hingga 4.2 juta tan metrik bagi tempoh 2022 hingga 2023.
"Oleh itu, kami menaikkan unjuran pendapatan sebanyak 240% bagi FY22 berikutan harga MSM yang lebih tinggi.
"Tetapi, untung bersih teras dijangka kembali menurun dalam tempoh FY21 hingga FY23 disebabkan pelaksanaan Cukai Makmur pada FY22 dan harga MSM lebih rendah pada FY23," jelasnya.
Secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'market perform' terhadap FGV dengan harga sasaran disemak lebih tinggi kepada RM2.30 berbanding RM1.55 sebelum ini.
Setakat 10.17 pagi ini, harga saham FGV susut 2 sen atau 0.98% kepada RM2.02 dengan 7.14 juta saham diniagakan. - DagangNews.com