Peraturan pasaran ditingkatkan, pembiayaan RM100,000 untuk koperasi | DagangNews Skip to main content

Peraturan pasaran ditingkatkan, pembiayaan RM100,000 untuk koperasi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Mac - Bagi memastikan pembiayaan alternatif terus berkembang, pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menambah baik peraturannya berdasarkan perkembangan semasa. 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini termasuk had pengumpulan dana yang akan dinaikkan daripada RM10 juta kepada RM20 juta serta Equity Crowdfunding akan diperluaskan kepada syarikat berhad yang tidak tersenarai. 

 

“Untuk terus menggalakkan syarikat mengumpul dana menerusi pasaran saham, fi berkaitan penyenaraian akan dikecualikan selama 12 bulan bagi syarikat yang memohon penyenaraian di pasaran MAIN, LEAP atau ACE.  

 

“Selain itu, rebat untuk fi penyenaraian tahunan bagi tahun 2021 juga akan diberikan kepada syarikat tersenarai yang telah melaporkan kerugian berdasarkan laporan suku tahunan mereka.

 

“Seterusnya, bagi membantu mengurangkan beban syarikat yang menghadapi masalah kewangan dan boleh menyebabkan risiko penggulungan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bersetuju nilai ambang keterhutangan atau indebtedness threshold dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM50,000,” katanya ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang bernilai RM20 bilion hari ini.

 

Baca : PM umum 20 inisiatif di bawah Pemerkasa bernilai RM20 bilion 

 

Pada masa yang sama, SSM juga memberi kemudahan pendaftaran perniagaan percuma kepada kumpulan B40 dan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa yang ingin menceburi bidang keusahawanan, katanya.

 

Dalam pada itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan menyediakan insentif pembiayaan sehingga RM100,000 tanpa cagaran bagi membantu koperasi yang terkesan, tambah Muhyiddin.

 

“Permohonan pembiayaan ini akan dipermudahkan dan proses kelulusan akan dipercepatkan dengan memberi kelonggaran bayaran balik selepas enam bulan pembiayaan diluluskan.

 

“Sejumlah RM50 juta dari Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan diperuntukkan yang dijangka dapat membantu lebih 14,000 koperasi.

 

“Selain itu, kerajaan telah meluluskan geran padanan sebanyak RM30 juta untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi industri sawit. Kerajaan akan menambah peruntukan sebanyak RM20 juta dalam bentuk geran padanan bagi tujuan pembelian jentera kepada Koperasi Penanaman Sawit Mampan,” ujarnya lanjut. 

 

Bantuan itu dijangka memanfaatkan 65 koperasi dengan keahlian sebanyak 6,000 pekebun kecil.

 

Ujarnya, Geran Padanan Digitalisasi di bawahBank Simpanan Nasional (BSN) yang sebelum ini dimanfaatkan oleh syarikat turut diperluaskan kepada koperasi bagi mengembangkan aktiviti perniagaan mereka melalui platform digital. - DagangNews.com