Perbalahan tawaran harga saham, sukarkan Felda | DagangNews Skip to main content

Perbalahan tawaran harga saham, sukarkan Felda

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

Felda meneruskan usaha pembelian saham-saham FGV Holding Bhd dalam pasaran terbuka yang sehingga 10 Februari lalu berjumlah 2.62 bilion saham bersamaan 71.95% pegangan dalam syarikat perladangan tersebut.

 

Pembelian saham-saham pada harga RM1.30 sesaham ini merupakan sebahagian daripada langkah Felda untuk menjadikan FGV sebagai syarikat persendirian dengan memiliki 90% atau lebih pegangan dalam syarikat itu. 

 

Bagaimanapun, terdapat persoalan yang dibangkitkan mengenai pegangan entiti milik kerajaan dalam FGV dan sejauh mana harga yang ditawarkan Felda itu dilihat 'menarik' di mata mereka?

 

Tambahan pula, harga saham FGV sendiri sudah menyusut sehingga lebih 70% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) pada RM4.55 sejak ia disenaraikan pada 2012. 

 

Difahamkan, kerajaan negeri Pahang memiliki 182.41 juta saham atau 5% pegangan dalam FGV diikuti kerajaan negeri Sabah (148.54 juta/4.07% pegangan) menerusi Sawit Kinabalu Sdn. Bhd. dan Ketua Menteri Negeri Sabah. 

 

Selain itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) secara kolektif memiliki lebih daripada 4% kepentingan ekuiti. 

 

Malah, Minister of Finance Inc juga memiliki 5.48% pegangan atau 200 juta saham dalam syarikat perladangan itu. 

 

Isu mengenai harga tawaran saham ini bukan perkara baru, memandangkan ia pernah dipersoalkan pengarah-pengarah FGV tidak berkepentingan yang mengesyorkan kepada para pemegang saham untuk menolak tawaran Felda menerusi kenyataan yang dikeluarkan FGV pada 22 Januari lalu. 

 

Bahkan, mereka menyifatkan harga tawaran adalah tidak adil kerana ia berada di bawah nilai saksama oleh RHB Investment Bank (bank penilai yang dilantik oleh FGV) antara RM1.42 hingga RM1.60 setiap saham FGV, atau 8.5% hingga 18.8% di bawah nilai saksama bagi saham FGV.

 

Pada harga IPO dan kini ditawarkan untuk diperoleh pada harga RM1.30 sesaham dan dengan mempertimbangkan peningkatan yang signifikan terhadap kualiti aset perladangan FGV sejak IPO, para pengarah tidak berkepentingan tidak dapat dengan nurani yang jelas untuk mengesyorkan tawaran sebagai 'wajar' kepada para pemegang saham minoriti FGV, jelas kenyataan itu lagi. 

 


Baca : Tawaran harga saham tidak dipersetujui FGV


Baca : Kenaikan harga saham FGV terhad, terima sahaja tawaran Felda 

 

 

Dalam nota kajian CGS-CIMB bertarikh 25 Januari lalu, firma penyelidikan itu menyifatkan nasihat bercanggah dalam tawaran pengambilalihan itu menyebabkan mereka mempunyai jangkaan yang berbeza terhadap prestasi harga saham FGV. 

 

Buat masa ini, Felda melanjutkan tawaran pengambilalihan itu sehingga 2 Mac berbanding 16 Februari yang diminta FGV sebelum ini. 

 

Hakikatnya, tidak mungkin Felda menawarkan harga saham yang lebih tinggi daripada RM1.30 kerana ia tertakluk kepada garis panduan dan peraturan pengambilalihan yang dikeluarkan oleh Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.  

 

Jadi, Felda perlu menawarkan harga yang sama kepada semua pelabur dan tidak boleh menawarkan harga berbeza kepada pemegang saham yang lain sekalipun terdapat pandangan harga saham itu harus lebih tinggi berbanding ditawarkan ketika ini. 

 

Dengan harga tawaran saham itu, kemungkinan entiti-entiti berkenaan terpaksa 'menanggung kerugian' jika mengambil kira harga IPO yang lebih tinggi 9 tahun lalu.

 

Jika boleh dilihat semula, pelan penstrukturan semula Felda ini melibatkan pemansuhan pajakan tanah ladang (LLA) yang mungkin melibatkan pampasan antara RM5 hingga RM6 bilion, bergantung kepada harga kilang sawit FGV.

 

Pada harga RM1.30 sesaham, Felda juga perlu menambah kira-kira RM3 bilion dalam pengambilalihan itu. 

 

TA Securities dalam nota kajian 9 Februari lalu menasihati pemegang saham minoriti supaya menerima tawaran Felda bagi membolehkan pelabur beralih kepada saham perladangan di bawah nilai, yang mempunyai potensi pertumbuhan perolehan lebih tinggi seperti TSH (harga sasaran RM1.29) dan IJM Plantations (harga sasaran RM2.40).

 

Menurut pengumuman di Bursa Malaysia, pegangan saham awam FGV sudah mengecil kepada 23.93% modal saham terbitannya, iaitu di bawah paras minimum 25% yang diperlukan di bawah keperluan penyenaraian.

 

Jelas firma itu lagi, jika Felda memiliki 90% atau lebih pegangan dalam FGV, Bursa Securities akan menggantung saham syarikat itu serta-merta dalam tempoh 5 hari daripada penutupan tarikh penerimaan tawaran.

 

Felda akan mengemukakan permohonan kepada FGV untuk melaksanakan prosedur sewajarnya bagi menarik balik status penyenaraian jika paras pegangan itu tercapai.

 

Tetapi jika sebaliknya, satu resolusi khas perlu dibuat dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) seandainya Felda gagal memperoleh ambang 90% walaupun menguasai lebih daripada 75% saham bebas.

 

Setakat 12.13 tengah hari ini, saham FGV diniagakan pada RM1.31 dengan pasaran modal sebanyak RM4.46 bilion.

 

Dengan menilai kepada prestasi saham FGV yang tidak menunjukkan sebarang peningkatan ketara sejak akhir-akhir ini, adalah wajar sekiranya pihak-pihak berkenaan menerima sahaja Felda ini. 

 

Bagaimanapun, persoalan siapa yang rugi atau untung dalam pengambilalihan ini pastinya akan terus menjadi perbalahan, sekali gus menyukarkan Felda untuk meningkatkan lagi pegangannya dalam FGV. - DagangNews.com