Perbelanjaan operasi lebih tinggi, untung bersih MBSB pada 2QFY24 susut 34% kepada RM54.8 juta | DagangNews Skip to main content

Perbelanjaan operasi lebih tinggi, untung bersih MBSB pada 2QFY24 susut 34% kepada RM54.8 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Ogos - MBSB Bhd, syarikat pegangan kewangan MBSB Bank Bhd dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), menyaksikan untung bersihnya bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) menyusut 34.5% kepada RM54.83 juta berbanding RM83.7 juta setahun sebelumnya, atas perbelanjaan operasi (opex) yang lebih tinggi dan elaun rosot nilai.

 

Kumpulan itu merekodkan opex RM241.7 juta dan jumlah elaun rosot nilai RM98.5 juta pada suku semasa, lebih tinggi daripada kedua-dua 2QFY23 dan 1QFY24. 

 

MBSB melaporkan elaun rosot nilai yang lebih tinggi pada 2QFY24 disebabkan penurunan nilai yang lebih tinggi pada 1QFY24.

 

Hasilnya, pendapatan sesaham turun kepada 0.67 sen untuk 2QFY24 berbanding 1.17 sen untuk 2QFY23.

 

Hasil suku tahunan, bagaimanapun, meningkat 35% kepada RM960.85 juta daripada RM711.53 juta pada 2QFY2023, terutamanya disebabkan oleh peningkatan pendapatan pembiayaan dan sumbangan daripada integrasi MIDF.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MIDF berkata, pendapatan bersih (pra-rosot nilai) juga melonjak 53.2% kepada RM435.92 juta daripada RM284.57 juta.

 

Bagi separuh pertama FY24(1HFY24), untung bersih MBSB susut 15.6% kepada RM133.17 juta daripada RM157.82 juta setahun lalu, walaupun hasil meningkat 34.7% kepada RM1.85 bilion daripada RM1.38 bilion pada 1HFY23.

 

Memandang ke hadapan, MBSB berkata, strategi untuk 2024 adalah untuk terus meningkatkan tahap akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) serta menambah baik kos pembiayaannya.

 

"Dengan selesainya pengambilalihan MIDF pada Oktober 2023, kumpulan itu menyasarkan untuk merealisasikan sinergi dengan MIDF untuk menawarkan pelanggan perkhidmatan yang lebih baik, produk inovatif dan rumusan yang diperibadikan, khususnya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelanggan runcit dalam segmen mewah.

 

"Strategi ini berteraskan kepada penambahbaikan berterusan kami dalam pendigitalan, menjadikannya lebih mudah bagi pelanggan kami untuk menjalankan perbankan dan mengurus operasi mereka," katanya. - DagangNews.com