Perbelanjaan pengguna diunjur catat peningkatan 5.1% pada 2022 - Fitch Solutions | DagangNews Skip to main content

Perbelanjaan pengguna diunjur catat peningkatan 5.1% pada 2022 - Fitch Solutions

 

 

KUALA LUMPUR 12 Jan - Perbelanjaan pengguna di Malaysia akan menyaksikan pertumbuhan yang baik tahun ini, dengan perbelanjaan isi rumah benar di negara ini dijangka meningkat 5.1%, menurut Fitch Solutions Country Risk and Industry Research. 

 

Ia adalah peningkatan ketara daripada pertumbuhan hanya 0.5% yang diunjurkan bagi 2021 berikutan kesan COVID-19 yang terus membebankan permintaan domestik.

 

Jelasnya, pemulihan perbelanjaan pengguna pada 2022 didorong pemulihan ekonomi yang lebih meluas dengan pertumbuhan terutamanya disokong oleh penggunaan swasta dan pelaburan tetap. 

 

"Dengan RM768.1 bilion pada 2022, perbelanjaan benar isi rumah akan menjadi 1.8% lebih tinggi berbanding RM754.6 bilion yang dicatatkan pada 2019, sebelum COVID-19," katanya dalam nota kajian seperti dilapor Bernama hari ini. 

 

Malah, menurut Fitch, anggaran perbelanjaan pengguna itu adalah sejajar dengan pandangan pasukan risiko negara bahawa ekonomi secara meluas akan berkembang sebanyak 5.5% tahun ini. 

 

Agensi itu juga mendapati kadar pengangguran akan berkurangan mulai 2022, menurun kepada purata 3.9% daripada 4.7% pada 2021. 

 

Bagaimanapun, Fitch Solutions memberi amaran bahawa ancaman terbesar kepada ekonomi Malaysia adalah kembalinya ledakan kredit isi rumah yang berlaku dekad lalu sejak krisis kewangan global.

 

Menurutnya, keadaan tersebut boleh mengakibatkan penurunan dalam permintaan domestik di tengah-tengah kemerosotan harga hartanah.

 

"Ini bukan pandangan teras kami, namun risiko semakin meningkat dengan gangguan ekonomi yang teruk yang ditimbulkan oleh pandemik COVID-19," jelasnya.

 

Sementara itu, Fitch Solutions menjangkakan kadar inflasi akan kekal meningkat pada 2022 dan diunjur mengakhiri tahun ini pada 3%. - DagangNews.com