Perbelanjaan penjagaan kesihatan awam, swasta Malaysia dijangka berkembang positif hingga 2027, kata BMI | DagangNews Skip to main content

Perbelanjaan penjagaan kesihatan awam, swasta Malaysia dijangka berkembang positif hingga 2027, kata BMI

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Ogos - BMI iaitu sebuah syarikat Fitch Solutions menjangkakan perbelanjaan penjagaan kesihatan awam dan swasta di Malaysia mencatatkan pertumbuhan satu digit yang tinggi hingga 2027.

 

Mengulas mengenai prospek jangka panjang, firma penyelidikan itu berkata, Malaysia sedang berusaha untuk mempromosikan pembiayaan yang lebih mampan untuk penjagaan kesihatan.

 

Katanya, Malaysia akan terus mempromosikan kesihatan digital sebagai sebahagian daripada strategi untuk memodenkan sistem penjagaan kesihatan dan mengukuhkan industri pelancongan perubatannya.

 

BMI berkata, sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta di Malaysia, menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi kepada penduduk.

 

"Penjagaan kesihatan awam memberi perkhidmatan kepada majoriti penduduk, walaupun penjagaan kesihatan swasta memainkan peranan penting dalam penyediaan penjagaan untuk individu berpendapatan tinggi, ekspatriat dan pelancong perubatan.

 

"Ia berkata permintaan tinggi untuk kedua-dua penjagaan kesihatan awam dan swasta akan memastikan pertumbuhan perbelanjaan untuk kedua-duanya 

 

"Kami meramalkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 8% untuk perbelanjaan penjagaan kesihatan awam, dan CAGR 7.3% untuk swasta," katanya.

 

BMI berkata, penjagaan kesihatan kekal tinggi dalam agenda kerajaan dengan isu seperti kesesakan di hospital dan kekurangan kakitangan yang menjadi sangat ketara semasa pandemik COVID-19.

 

Katanya, Bajet 2023 memfokuskan pada memodenkan dan memperluaskan kemudahan penjagaan kesihatan, mendapatkan ubat-ubatan, reagen, vaksin dan bahan guna perubatan serta merekrut lebih ramai pegawai perubatan, doktor gigi dan ahli farmasi.

 

"Di samping itu, penduduk Malaysia yang semakin tua dan beban penyakit kronik yang semakin meningkat akan menyokong pertumbuhan perbelanjaan.

 

"Pertumbuhan sektor swasta akan disokong oleh permintaan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat serta usaha Malaysia untuk meningkatkan industri pelancongan perubatannya," katanya.

 

BMI berkata, Malaysia akan terus mempromosikan kesihatan digital sebagai sebahagian daripada strateginya untuk memodenkan sistem penjagaan kesihatannya dan untuk memperkukuh industri pelancongan perubatannya.

 

Ia menekankan bahawa pada Mei 2023 Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa ia menyasarkan pelancaran sistem rekod perubatan elektronik nasional di seluruh negara menjelang 2026.

 

Ia berkata sistem rekod itu menyasarkan penambahbaikan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang disediakan di kemudahan penjagaan kesihatan awam melalui pangkalan data digital, pangkalan data itu akan membolehkan kemudahan penjagaan kesihatan menyimpan rekod maklumat seperti keputusan makmal klinikal, farmasi dan kejururawatan.

 

Firma itu berkata, risiko kelemahan utama terhadap pelaksanaan meluas teknologi kesihatan digital bagaimanapun, termasuk usaha untuk menggalakkan pembiayaan yang lebih mampan yang akan memperlahankan kemajuan teknologi kesihatan digital dalam kemudahan awam. - DagangNews.com