Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Jan - Kelonggaran sekatan pergerakan, pembukaan semula ekonomi dan data makroekonomi yang semakin bertambah baik dapat menyediakan ruang bagi perbelanjaan pengguna yang kukuh pada suku keempat 2021 dan seterusnya pada 2022.
Ini berdasarkan kepada statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia semalam menunjukkan jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia sekali lagi mencecah paras tertinggi dalam rekod pada November 2021.
Ia mencatatkan RM118.1 bilion, peningkatan 7% tahun ke tahun, mengatasi paras yang dicapai bulan lalu sebanyak RM116.2 bilion.
Peningkatan dalam perdagangan borong dan runcit itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong yang mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 6.8% atau RM3.6 bilion kepada RM56.3 bilion pada November 2021.
Ini membolehkan MIDF Research mengunjurkan perdagangan runcit Malaysia berkembang sebanyak 5.5% tahun ke tahun pada tahun ini.
Malah, firma itu turut menjangkakan penggunaan swasta berkembang sebanyak 6% pada 2022.
"Dengan perjalanan antara negeri telah dibenarkan, kami menjangkakan sektor perkhidmatan akan mendapat manfaat dan meningkat sebanyak 7.1% tahun ini.
"Bagaimanapun, masih wujud risiko negatif terhadap pemulihan perbelanjaan pengguna termasuklah kemunculan pelbagai varian baharu COVID-19, impak perubahan iklim, pemulihan perlahan pasaran buruh dan peningkatan tekanan inflasi," katanya dalam nota kajian.
MIDF Research juga berkata, perbelanjaan pengguna dijangka berada dalam trajektori meningkat pada Disember 2021 dan 2022, disokong oleh kemajuan tinggi kadar vaksinasi, tekanan inflasi yang stabil dan pasaran buruh yang bertambah baik.
Sementara itu, Kenanga Research menjangkakan jualan perdagangan pada 2021 berada di dalam julat unjuran antara 7 hingga 9% di tengah-tengah gangguan rantaian bekalan global dan pemulihan permintaan yang lebih perlahan berbanding jangkaan.
Katanya, walaupun situasi pandemik semakin baik di peringkat domestik, tetapi nilai jualan dijangka berkembang pada kadar perlahan dalam tempoh terdekat.
"Keadaan ini disebabkan kekurangan produk global dan momentum permintaan yang perlahan.
"Malah, gangguan rantaian bekalan yang disebabkan Omicron mungkin menghalang momentum pemulihan Malaysia yang kukuh dan memberi kesan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022," jelasnya.
Firma itu bagaimanapun, menjangkakan pertumbuhan penggunaan swasta kembali pulih sebanyak 3.4% pada 2021 dengan keseluruhan pertumbuhan KDNK dijangka berkembang sekitar 3.5 hingga 4%. - DagangNews.com