Perdana Menteri arah 4 agensi beri laporan harian mengenai banjir kepada rakyat | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri arah 4 agensi beri laporan harian mengenai banjir kepada rakyat

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarah empat agensi berkaitan pengurusan banjir untuk memberi laporan harian kepada rakyat bagi membolehkan mereka mendapatkan maklumat yang sahih mengenai bencana itu.

 

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Dis - Empat agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana banjir seluruh negara telah diarahkan memberi laporan harian kepada seluruh rakyat mulai hari ini.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, empat agensi terbabit adalah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Beliau berkata, penglibatan barisan hadapan kerajaan yang membantu bencana perlu sentiasa bersedia.

 

“Saya telah mengarahkan NADMA, PDRM, JBPM dan ATM untuk membuat laporan harian kepada seluruh Keluarga Malaysia mulai hari ini.

 

“Penglibatan daripada seluruh barisan hadapan kerajaan yang membantu bencana ini harus berada di tahap sentiasa bersedia dan saya yakin laporan ini dapat memberi gambaran jelas situasi terkini bencana di seluruh negara,” katanya menerusi laman Twitter, hari ini.

 

Sidang akhbar harian itu dimulakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryll Sani Abdullah Sani pada pukul 10 pagi diikuti Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang pada 12 tengah hari.

 

polis

 

Ia kemudian diteruskan oleh Ketua Pengarah Bomba, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid pukul 2 petang dan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr. Aminuddin Hassim pada 4 petang.
 

Ismail Sabri memaklumkan sidang media Op Banjir itu bertujuan memastikan rakyat mendapatkan maklumat terkini dan sahih mengenai situasi banjir.

 

tenteran

 

“Rakyat perlu mendapatkan maklumat jelas, sahih dan terkini mengenai situasi semasa bencana banjir yang melanda beberapa negeri.

 

“Sidang media Op Banjir ini bertujuan untuk memastikan rakyat mendapat maklumat terkini dan sahih mengenai situasi banjir serta persediaan-persediaan yang perlu dalam menghadapi bencana,” katanya menerusi laman Facebook rasminya. - DagangNews.com