Perdana Menteri baharu mesti hayati konsep Kepimpinan Islam | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri baharu mesti hayati konsep Kepimpinan Islam

Gambar oleh Nazarizal Mohammad 

 

 

Oleh DR. AZRI BIN BHARI

 

 

PELEPASAN jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8 oleh Tan Sri Muhyiddin Md. Yasin pada 16 Ogos lalu, dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong telah menjadi catatan dalam lipatan sejarah Malaysia. Terdahulu, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah melakukan tindakan yang sama sebagai Perdana Menteri ke-7 pada Februari 2020.

 

Jawatan kepimpinan yang disandang bukanlah satu keistimewaan, kelebihan atau kemegahan sebaliknya adalah suatu tanggungjawab yang sangat berat dan memerlukan pengorbanan yang sangat tinggi serta kerja keras yang bersungguh-sungguh.

 

Menurut al-Mawardi, kepimpinan adalah menggantikan tugas kenabian bagi menjaga agama dan menguruskan kehidupan dunia. Seterusnya, Ibn Khaldun juga menjelaskan kepimpinan ialah membawa seluruh manusia berada di atas landasan syarak bagi kepentingan akhirat dan urusan keduniaan yang menguntungkan akhirat.

 

Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Setiap kalian adalah pemimpin dan kalian akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kalian; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya."  (Hadis Riwayat Bukhari).

 

Berdasarkan hadis di atas, Islam telah menjelaskan bahawa setiap manusia sama ada lelaki atau wanita adalah sebagai pemimpin. Paling asas, setiap orang adalah pemimpin terhadap dirinya sendiri dan yang paling tinggi adalah seorang pemimpin terhadap rakyat.

 

Tanggungjawab kepimpinan perlu dilaksanakan dengan penuh strategi dan perancangan yang tertatur serta tersusun rapi demi mencapai kemajuan, kesejahteraan dan kebahagian rakyat sama ada di dunia dan juga akhirat.

 

Islam telah menggariskan pelbagai tugas dan tanggungjawab kepimpinan yang baik untuk diterapkan dan daplikasikan supaya membawa kesejahteraan dan kebaikan dalam sesebuah negara.

 

Pertama, memelihara dan memartabatkan Islam. Berusaha mempertahankan kesucian Islam daripada segala bentuk kesesatan, bidaah, penyelewengan, ideologi yang bercanggah dengan Islam dan sebagainya.

 

Kepimpinan wajib menghapuskan segala bentuk penyelewengan yang merosakkan imej Islam dengan menggunakan kaedah dan metode yang bersesuaian seperti penerangan, mengemukakan hujah, keterangan dan sehinggalah kepada tindakan undang-undang.

 

Sewajarnya pemimpin menjadi teladan serta mengamalkan cara hidup yang betul dan tidak menyeleweng. Sekiranya kepimpinan tidak mengamalkan ‘kebenaran’, maka rakyat akan menjadi lebih rosak lagi, sebagaimana maksud firman Allah SWT: “Mengapakah kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri” (Surah al-Baqarah: 44).

 

Kedua, menjaga keselamatan rakyat daripada anasir negatif dan pencerobohan dari pihak luar. Hal ini dapat dilakukan dengan menyediakan benteng pertahanan yang kukuh dan kekuatan ketenteraan yang mantap.

 

Ketiga, menjamin keamanan dalam negera dengan meiaksanakan undang-undang yang diletapkan oleh syarak dan berlaku adil. Pemimpin perlu memastikan pelantikan para hakim yang berkelayakan untuk memikul tugas pengadilan supaya keadilan dapat ditegakkan yang sekaligus menjamin keamanan dan kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

 

Keempat, menyelesaikan pertelingkahan dan perbalahan dengan bijaksana serta berhemah melalui saluran yang betul. Pemimpin perlu memastikan pihak-pihak yang terlibat dengan proses pengadilan tidak dizalimi.

 

Kelima, menyediakan kemudahan asas kepada rakyat. Kepimpinan melalui kementerian, jabatan dan sektor lain perlu menyediakan kemudahan asas kepada rakyat mengikut bidang kerja masing-masing seperti kesihatan, pendidikan, perindustrian, perdagangan, pertanian, pengangkutan, perumahan dan sebagainya.

 

Hal ini adalah selari dengan kaedah fiqh yang menganjurkan pihak pemerintah meyediakan kemaslahatan kepada rakyat iaitu “Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat”.

 

Demikianlah tugas dan tanggungjawab kepimpinan yang perlu dilaksanakan supaya membawa kesejahteraan dan kebaikan dalam sesebuah negara. Natijah kepimpinan Islam adalah untuk membina dan membangun insan yang sejahtera jiwa dan rohaninya, murni akhlak dan sikap, bersaudara, bantu membantu dalam melakukan kebaikan, berganding bahu mencegah kemungkaran, mempertahankan nilai, kesucian dan kehormatan diri, menegakkan keadilan dan kebenaran, menolak kerosakan dan kebatilan. - DagangNews.com

 

 

 

dr azri bhari
DR. AZRI BIN BHARI
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam, Selangor.