Perdana Menteri beri penekanan terhadap 3 aspek kemanusiaan ke atas Myanmar | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri beri penekanan terhadap 3 aspek kemanusiaan ke atas Myanmar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi penekanan terhadap tiga aspek kemanusiaan ke atas Myanmar kepada Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen selepas mengambil alih Kepengerusian ASEAN 2022.

 

Menerusi satu penggilan video bersama Hun Sen di atas permintaan Kemboja, Perdana Menteri menegaskan bahawa terdapat keperluan dalam meredakan keadaan di Myanmar termasuk menghentikan keganasan terhadap orang awam.

 

Beliau juga menekankan bahawa, majlis dialog politik antara semua pihak berkaitan perlu diadakan demi kepentingan rakyat Myanmar.

 

"Pada masa sama Malaysia menyeru pembebasan segera kesemua tahanan politik tanpa sebarang syarat termasuk Aung San Suu Kyi dan U Win Myint.

 

"Penekanan juga diberikan kepada meneruskan bantuan kemanusiaan menerusi Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre) dengan sokongan Nnegara-negara ASEAN dan rakan luar ASEAN," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra, hari ini. 

 

Ismail Sabri turut menyatakan sekali lagi pendirian Malaysia agar Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar diberikan akses kepada semua pihak yang berkenaan dalam usaha mencari penyelesaian secara aman demi kepentingan rakyat Myanmar. 

 

Perdana Menteri berkata, dalam isu berkenaan, Malaysia menyokong pelantikan Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn sebagai Utusan Khas yang baharu selain memberi penekanan bahawa Malaysia kekal komited menyokong usaha ASEAN ke arah penyediaan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Maynmar.

 

"Berhubung keputusan ASEAN untuk menjemput wakil bukan politik dari Myanmar untuk menyertai mesyuarat peringkat tertinggi ASEAN, Malaysia kekal dengan pendiriannya selagi tiada perkembangan nyata dan pelaksanaan sepenuhnya Kemuafakatan Lima Perkara (5PC).

 

"Langkah-langkah untuk menangani situasi di Myanmar perlu dibincang dan diperhalusi dengan lebih lanjut di peringkat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN dan Pegawai-pegawai Kanan ASEAN. 

 

"Malaysia juga bersetuju dengan cadangan Pengerusi ASEAN supaya Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN diadakan segera," katanya. - DagangNews.com