Perdana Menteri yakin kepemimpinan Abang Jo serta kabinet baharu akan terus pacu kecemerlangan Sarawak | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri yakin kepemimpinan Abang Jo serta kabinet baharu akan terus pacu kecemerlangan Sarawak

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan keyakinan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama barisan Kabinet baharunya dalam memacu kecemerlangan negeri itu.

 

Beliau berharap barisan Kabinet yang terdiri daripada 10 menteri dan 26 menteri muda yang telah mengangkat sumpah secara maya Selasa lalu, dapat menabur lebih banyak jasa kepada rakyat Sarawak.

 

"Saya ucapkan tahniah kepada barisan Kabinet yang baharu. 

 

"Semoga dengan pemilihan baru ini, barisan Kabinet yang diketuai oleh Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg dapat menabur lebih banyak jasa dan bakti kepada rakyat Sarawak," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

 

Majlis angkat sumpah barisan Kabinet baharu Sarawak dan menteri muda itu melakar sejarah tersendiri apabila diadakan secara maya menyaksikan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud menerima pelantikan mereka di Astana Negeri dengan istiadat dijalankan secara fizikal di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

 

Abang Johari, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gedong dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), telah mengangkat sumpah pada 18 Disember lalu setelah gabungan politik tempatan itu memenangi Pilihan Raya Negeri ke-12.

 

GPS, yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), telah memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertanding dalam pilihan raya itu. - DagangNews.com