Pergerakan penumpang bulanan MAHB melebihi 1 juta | DagangNews Skip to main content

Pergerakan penumpang bulanan MAHB melebihi 1 juta

Malaysia Airports Holdings Bhd.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) mencatatkan peningkatan dalam jumlah pergerakan penumpang yang melebihi 1 juta bermula Julai dan Ogos 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, peningkatan yang dicatatkan itu turut didorong oleh pelancaran laluan Reciprocal Green Lane (RGL)  bersama Singapura.

"MAHB terus mencatatkan peningkatan kekerapan penerbangan dan laluan baharu daripada rakan syarikat penerbangan dalam operasi komersial dan kargo yang menyebabkan peningkatan jumlah pergerakan penumpang bulanan melepasi 1 juta pada Julai.

"Untuk bulan Ogos pula, operasi MAHB di Malaysia mencatatkan 1.4 juta pergerakan penumpang bulanan," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Pergerakan lalu lintas pesawat juga meningkat 7% kepada 24,209 berbanding bulan sebelumnya.

Mohd. Shukrie Mohd. Salleh
Mohd. Shukrie Mohd. Salleh 

 

MAHB juga mencatatkan peningkatan dominan dalam jumlah kekerapan penerbangan di semua lapangan terbang di Malaysia termasuk Pulau Pinang, Langkawi, Kota Kinabalu dan Kuching.

Lapangan Terbang Antabangsa Kuala Lumpur (Kod IATA:KUL) menyaksikan kenaikan 33% di samping lapangan terbang antarabangsa lain yang turut meningkat 75% secara keseluruhannya.

Jelas beliau, peningkatan tersebut adalah disebabkan oleh pelancaran laluan Recipprocal Green Lane (RGL) bersama Singapura.

Melalui pelancaran RGL itu, tiga syarikat penerbangan tempatan dan luar negara seperti Scoot Airlines dan Jetstar Asia meneruskan operasi melalui laluan berkenaan.

Tambah beliau, pelancong domestik juga turut memanfaatkan cuti persekolahan, Hari Kemerdekaan dan cuti hujung minggu Awal Muharram bagi mengunjungi destinasi pelancongan tempatan.

"Sektor domestik masih menjadi pemacu utama dalam pemulihan perjalanan secara beransur-ansur. 90% daripada jumlah penumpang kami terdiri daripada perjalanan domestik.

"Kami gembira melihat perkembangan orang ramai yang kembali yakin terhadap keselamatan perjalanan udara berdasarkan peningkatan kekerapan penerbangan.

"Kami tetap komited dan akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada rakan penerbangan dan rakan perniagaan kami untuk terus mencatatkan pemulihan daripada kesan wabak," jelasnya lagi. - DagangNews.com