Perjalanan keluar dan masuk Sabah disekat bermula esok | DagangNews Skip to main content

Perjalanan keluar dan masuk Sabah disekat bermula esok

Sabah

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Kerajaan mengambil keputusan untuk menyekat sebarang perjalanan dari Sabah ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan bermula 7 Oktober 2020.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira peningkatan kes COVID-19 di seluruh negeri Sabah.

"Sekatan perjalanan dari Sabah ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan bermula 7 hingga 20 Oktober 2020.

"Bagaimanapun, terdapat pengecualian khas diberikan kepada kes-kes tertentu yang melibatkan kes kecemasan, kematian, perkhidmatan perlu dan lain-lain yang perlu mendapat kebenaran dari KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

 

Tambahnya lagi, mereka yang telah diberikan kebenaran juga perlu menjalani ujian saringan COVID-19 oleh KKM apabila tiba di pintu masuk destinasi yang dituju.

Berikut adalah kategori yang diberikan kebenaran bagi pergerakan masuk ke Sabah;

  • Rakyat Sabah yang memegang MyKad kod H
  • Pasangan kepada rakyat Sabah yang memiliki pas imigresen Malaysia yang sah tempoh yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sabah, atau bukti perkahwinan dan sijil lahir anak
  • Pekerja bidang perkhidmatan perlu (essential service) yang mempunyai pas Imigresen Malaysia yang sah tempoh yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, negeri Sabah
  • Pelajar bukan rakyat Sabah yang mempunyai kad/pas pelajar daripada Jabatan Imigresen Malaysia, negeri Sabah
  • Pemastautin tetap Sabah yang memiliki MyPR kod H atau Kad Permit Masuk atau endosmen permit masuk dalam passport
  • Mereka hendaklah membuat permohonan kepad Jabatan Ketua Menteri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan untuk pertimbangan
  • Mereka juga akan menjalanu ujian saringan COVID-19 oleh KKM setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing

 

Mereka yang terlibat dengan pergerakan tersebut juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana Negeri Sabah di talian 088-369434 untuk sebarang pertanyaan dan maklumat. - DagangNews.com