Perjanjian akses kurangkan kebimbangan pelabur terhadap situasi 5G di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Perjanjian akses kurangkan kebimbangan pelabur terhadap situasi 5G di Malaysia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Nov - Lima syarikat telekomunikasi yang menandatangani perjanjian akses (AA) dengan Digital Nasional Bhd. (DNB) dilihat satu perkembangan positif kepada pelancaran 5G di Malaysia sekali gus mengurangkan kebimbangan pelabur.

 

CGS-CIMB Research berkata, pemeteraian itu juga merupakan syarat utama bagi menyempurnakan perjanjian langganan saham (SSA) membabitkan Celcom (Axiata Group Bhd.), Digi Telecomunications (Digi.com Bhd.), Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan YTL Communications (YTL Power International Bhd.) untuk memperoleh pegangan ekuiti dalam DNB.

 

"Ini secara tidak langsung menunjukkan situasi 5G yang lebih jelas di Malaysia, dan mengurangkan kebimbangan pelabur terhadap kemungkinan berlaku senario terburuk.

 

"Sehubungan itu, kami mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor telekomunikasi memandangkan impak terhadap pendapatan telahpun diambil kira dalam harga saham syarikat telekomunikasi, yang setakat tahun ini menurun pada purata 17% ," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, Digi.Com, Axiata Group dan U Mobile Sdn. Bhd. menyertai TM mengumumkan pelaksanaan perjanjian masing-masing untuk mengakses rangkaian borong tunggal 5G setelah menandatangani perjanjian pada Ahad.

 

Perjanjian capaian membabitkan lima pengendali rangkaian mudah alih (MNO), iaitu Celcom, Digi Telecommunications, U Mobile, TM dan YTL Communications adalah bagi tempoh 10 tahun bermula 7 Oktober 2022.

 

Baca : TM, Digi, Celcom meterai perjanjian akses 5G dengan DNB

 

Baca : U Mobile tandatangani perjanjian akses dengan DNB, sedia perkhidmatan 5G mulai 3 November ini

 

Bagaimanapun, Maxis Bhd kini masih menilai keperluan tadbir urus untuk perjanjian akses 5G dan komited untuk menyelesaikannya secepat mungkin.

 

Menurut CGS-CIMB, berdasarkan sumber industri didapati komitmen volum minimum (MVC) di bawah komponen yuran perlindungan telah dikurangkan daripada 1,200Gbps (apabila mencapai liputan 80% menjelang akhir 2024) sebelum ini. 

 

Namun, katanya, MVC yang tepat mungkin berbeza antara syarikat telekomunikasi, berdasarkan perbincangan komersial antara mereka dengan DNB.

 

"Kami difahamkan semua pencari akses perlu membayar yuran perlindungan, walaupun beberapa perbincangan pasaran lebih awal bahawa pemain mudah alih yang lebih kecil (seperti TM dan YTL) akan dicaj sepenuhnya atas dasar bayaran setiap penggunaan.

 

"Tetapi, kami faham bahawa akan ada peruntukan dalam AA yang akan membolehkan syarikat telekomunikasi yang lebih kecil untuk meneruskan sebarang kapasiti yang tidak digunakan ke tahun-tahun akan datang," jelasnya.

 

Firma itu berkata, walaupun ia tidak akan mengubah bayaran tunai yuran perlindungan mereka kepada DNB, tetapi ia akan mengakibatkan kesan yang lebih kecil ke atas pendapatan syarikat telekomunikasi yang lebih kecil kerana kos borong yang dicaj dalam P&L akan berdasarkan apa yang sebenarnya digunakan.

 

"Khususnya untuk TM, kami percaya ini akan membantu mengurangkan sebarang kesan besar terhadap pendapatan dan dividennya, berdasarkan dasar pembayaran 40% hingga 60%," katanya. - DagangNews.com