Perkembangan perniagaan Pappajack bergantung kepada pembukaan cawangan baharu, pengambilalihan perniagaan pihak ketiga | DagangNews Skip to main content

Perkembangan perniagaan Pappajack bergantung kepada pembukaan cawangan baharu, pengambilalihan perniagaan pihak ketiga

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Mac - Public Investment Bank Research melihat perkembangan perniagaan Pappajack Berhad bergantung kepada pembukaan cawangan pajak gadai baharu selain pengambilalihan perniagaan pihak ketiga.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Pappajack memiliki kekuatan tersendiri seperti menyediakan alternatif penyelesaian kewangan kepada mereka yang memerlukan di bawah Akta Pajak Gadai 1972, risiko kewangan rendah dengan pinjaman bercagar selain keupayaan menyediakan akses mudah untuk pinjaman mikro jangka pendek menerusi pajakan.

 

Katanya, mereka juga memiliki kakitangan yang berpengetahuan selain pasukan pengurusan yang berpengalaman serta rangkaian kedai pajak gadai di lokasi yang strategik dan mudah diakses.

 

"Tawaran awam permulaan (IPO) untuk 167 juta saham baharu Pappajack dijangka mengumpul dana sejumlah RM50.1 juta dan mereka akan memperuntukkan 38.4% daripada dana itu untuk meluaskan rangkaian mereka.

 

"Mereka juga akan menggunakan 54.1% dana berkenaan untuk meningkatkan modal tunai kepada 20 cawangan kedai pajak gadai sedia ada yang menyumbang kepada perkembangan kumpulan pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian.

 

BACA JUGA: Pappajack sasar kumpul RM50.1 juta menerusi IPO untuk buka cawangan kedai pajak gadai baharu

 

Firma penyelidikan itu berkata, Pappajack memiliki sejumlah 25 cawangan kedai pajak gadai termasuk di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor dan Perak.

 

Katanya, kumpulan itu dijangka berdepan beberapa cabaran dalam usaha mengembangkan perniagaan mereka termasuk persaingan langsung dan tidak langsung daripada pasaran pajak gadai sedia ada.

 

"Mereka juga terdedah kepada transaksi yang mencurigakan dan menyalahi undang-undang selain nilai gadaian terdedah kepada turun naik harga emas semasa.

 

"Pada masa sama perniagaan mereka juga terdedah kepada risiko keselamatan fizikal dan juga terdedah kepada pelanggaran keselamatan elektronik atau gangguan dalam sistem," katanya. - DagangNews.com