PERKESO sediakan kit ujian kendiri COVID-19 kepada majikan mencarum | DagangNews Skip to main content

PERKESO sediakan kit ujian kendiri COVID-19 kepada majikan mencarum


PUTRAJAYA 7 Okt - Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan membekalkan kemudahan kit ujian kendiri COVID-19 di bawah Program Ujian Saringan COVID-19 Fasa Pemulihan kepada majikan yang melaksanakan ujian saringan COVID-19 kepada pekerja mereka.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, penyediaan kit ujian kendiri COVID-19 ini bertujuan untuk membantu golongan majikan melaksanakan ujian saringan COVID-19 dengan lebih mudah dan pantas.

 

Sebelum ini ujar beliau, PERKESO membekalkan kit ujian saringan jenis Rapid Test Kit (RTK) Antigen kepada majikan yang menjalankan proses saringan COVID-19 pekerja mereka, bermula 6 September 2021.

 

Menerusi program ini, majikan bertanggungjawab untuk menyelaraskan pelaksanaan ujian saringan COVID-19 ini bersama klinik pilihan mereka, selain perlu menanggung kos perkhidmatan bagi ujian saringan tersebut.

 

Setakat ini katanya, PERKESO telah menerima 230,000 permohonan daripada majikan bagi mendapatkan kit ujian tersebut.

 

‘’Sehubungan itu, majikan yang masih belum membuat permohonan boleh memilih jenis kit ujian yang ingin dilaksanakan sama ada Rapid Test Kit (RTK) Antigen yang boleh dilakukan secara profesional oleh klinik atau kit ujian kendiri COVID-19 yang boleh dilakukan sendiri oleh pekerja.

 

‘’Kit-kit ujian ini akan dibekalkan kepada majikan berdasarkan bilangan pekerja yang aktif mencarum dengan PERKESO,’’ kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

saravanan
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan

 

 

Saravanan berkata, KSM berharap pelaksanaan program ini akan mengurangkan bebanan dan memberikan kemudahan kepada para majikan dalam menunaikan tanggungjawab untuk mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja, sekaligus membantu Kerajaan dalam usaha pemulihan ekonomi negara.

 

Maklumat lanjut termasuk proses permohonan berhubung Program Ujian Saringan COVID-19 Fasa Pemulihan ini boleh diperoleh di laman web rasmi PERKESO di www.perkeso.gov.my dan Portal Program Saringan Prihatin di psp.perkeso.gov.my.

 

Sila hubungi Careline PERKESO i 1300-22-8000 atau Hotline HSP dan PSP di 03-4264 5089 atau e-mel hsp@perkeso.gov.my untuk pertanyaan lanjut. – DagangNews.com