KUALA LUMPUR 24 Sept. - Perkhidmatan e-dagang daripada penyedia barangan dalam talian di Malaysia perlu ditambah baik bagi tujuan kepuasan pengguna.
Pengarah komersial kajian agensi penyelidikan sosial Blackbox, Yashan Cama berkata, hampir separuh pengguna dalam kajiannya meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan perkhidmatan e-dagang.
"Hampir separuh pengguna atau 43% menunjukkan mereka kurang berpuas hati dengan pengalaman perdagangan digital mereka.
"Tiga perkara utama yang ditekankan iaitu masa penghantaran, kos penghantaran dan harga produk," jelasnya dalam satu kenyataan seperti dipetik Malay Mail.
Kajian Blackbox itu turut dijalankan bersama platform perisian pengguna yang berpangkalan di Singapura,Toluna.
Dengan tajuk kajian “Into the Light: Understanding What has Changed for the Asean Consumer During Covid-19”, Blackbox dan Toluna berjaya mendapatkan 4,780 responden di seluruh Singapura, Malaysia, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Filipina.
Tambah Cama, pandemik COVID-19 telah mengubah landskap perbelanjaan dalam talian dengan peningkatan 59% pengguna yang menghabiskan masa untuk tujuan berkenaan.
Jumlah perbelanjaan pengguna secara dalam talian di Malaysia turut meningkat sebanyak 33%.
"Ketika menyeimbangkan penggunaan jenama dan kepuasan jenama, Shopee telah muncul sebagai platform utama dalam kalangan pengguna.
"Hasil tinjuaan bukan hanya menunjukkan platform berkenaan mencapai 83% pasaran dalam kalangan pengguna, malah turut mendapat kepuasan kedua tertinggi.
"Bagaimanapun platform Grab mendapat kepuasan platform tertinggi meskipun berada pada kedudukan ketiga sebagai platform yang paling kerap digunakan," jelas Cama lagi.
Tahap permintaan pengguna dilihat semakin bijak selain mengharapkan perkhidmatan yang terbaik dalam industri e-dagang.
Ujar Cama, penyedia pasaran semasa perlu bergerak seiring dengan pembangunan teknologi 5G sekali gus dapat mengharungi cabaran dan masalah untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik. - DagangNews.com