KUALA LUMPUR 27 Okt - Kenanga Research memulakan liputan terhadap LGMS Bhd. dengan pandangan 'outperform' pada harga sasaran RM1.50 sesaham.
Penilaian itu berdasarkan kepada nisbah harga perusahaan (PER) sebanyak 25x dan ditambat kepada pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) berikutan potensi pertumbuhan pendapatan kumpulan dalam tempoh jangka panjang menerusi Projek Mercury.
Menurutnya, LGMS merupakan pakar dalam ujian penembusan keselamatan siber yang berkembang maju dalam kedua-dua ledakan ekonomi dan kitaran menurun.
Sebagai contoh, katanya, kemelesetan ekonomi pada 2008 mengakibatkan jenayah siber mencecah rekod tertinggi di Amerika Syarikat (AS) sedangkan ledakan ekonomi dijangka memacu penggunaan pendigitalan dan seterusnya meningkatkan permintaan untuk keselamatan siber.
"Fakta yang menarik ialah pertumbuhan hasil kumpulan yang memberangsangkan dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 17.6% dalam tempoh tiga tahun lalu dicapai daripada pelanggan dan rakan kongsi seperti Alibaba Cloud, TIME dotCom, Measat, bank komersial dan pelaburan terkemuka di Malaysia.
"Dengan hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO), kumpulan kemudiannya mengembangkan pasukan bakatnya, kehadiran serantau dan melancarkan produk blockbuster baharunya (Projek Mercury)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Protégé Associates mengunjurkan industri keselamatan siber di ASEAN berkembang pada CAGR 14.2% daripada RM14.7 bilion pada 2021 kepada RM28.5 bilion pada 2026.
Namun, Kenanga Research yakin LGMS boleh mengatasi sasaran industri untuk berkembang pada CAGR 21.3% dalam tempoh yang sama berdasarkan kepada kepimpinan teknologi dalam ruang keselamatan siber kumpulan.
"Selain itu, ia mempunyai kelebihan untuk berkembang secara semula jadi dalam jumlah pasaran yang boleh ditangani apabila keperluan untuk keselamatan siber berkembang seiring dengan peningkatan penggunaan pendigitalan terutama dalam pasaran ASEAN.
"Penekanan yang semakin meningkat terhadap daya tahan siber sebagai sebahagian daripada strategi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kalangan organisasi juga memberi kelebihan kepada LGMS," jelasnya.
Menurut firma itu, LGMS adalah satu-satunya syarikat Malaysia yang mempunyai akreditasi Pengimbasan Vendor yang Diluluskan oleh Industri Kad Pembayaran (PCI ASV) dan kelebihan dwibahasa untuk berurusan dengan kedua-dua pelanggan China dan barat.
"Ini membolehkannya berada di kedudukan yang baik untuk mengatasi peningkatan permintaan untuk keselamatan siber," tambahnya.
Kumpulan baru-baru telah membangunkan produk baharu (Projek Mercury) yang bertujuan untuk merevolusikan proses memperoleh pensijilan PCI yang diperlukan setiap tahun.
"Ia merupakan perisian automatik satu-satunya yang tidak memerlukan penilaian manusia; maka margin akan menjadi sangat lumayan," katanya.
Setakat 11.23 pagi ini, harga saham LGMS menokok 6 sen atau 5.08% kepada RM1.24 dengan 2.99 juta saham diniagakan. - DagangNews.com