Permintaan Pharmaniaga dijangka pulih pada FY21 | DagangNews Skip to main content

Permintaan Pharmaniaga dijangka pulih pada FY21

Pharmaniaga

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Mac. - Pendapatan Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) bagi tahun kewangan 2020 merosot 3.4% susulan prestasi jualan yang lebih rendah akibat gangguan permintaan di pusat penjagaan kesihatan awam dan swasta.

 

CGS-CIMB Research berkata, perkara tersebut bagaimanapun dijangka tidak akan berterusan bagi tahun kewangan 2021.

 

Jelas CGS-CIMB Research, jangkaan itu dinilai kepada harapan pemulihan lawatan pesakit yang tidak berkaitan dengan COVID-19 di kedua-dua hospital awam dan swasta seiring dengan kelonggaran sekatan pergerakan.

 

"Kami percaya selain daripada pembekalan dan pengedaran vaksin COVID-19 yang menjana pendapatan Pharmaniaga, faktor peningkatan pendapatan syarikat tersebut juga dipacu oleh pemulihan permintaan yang lebih kuat berbanding jangkaan.

 

"Ia sekali gus memberi manfaat kepada segmen logistik dan pengedaran (L&D) serta segmen pembuatan yang diunjur berkembang lebih daripada asas yang rendah pada tahun kewangan 2020," jelas CGS-CIMB Research.

 

.
Produk penjagaan kesihatan pengguna Pharmaniaga.
​​​

 

Dalam pada itu, CGS-CIMB Research memberitahu, maklumat daripada pihak penganalisis Pharmaniaga sebelum ini telah menyatakan perancangan untuk memberi tumpuan bagi meningkatkan jualan produk kesihatan pengguna.

 

Bagi perancangan tersebut, CGS-CIMB Research mengharapkan agar Pharmaniaga dapat memperuntukkan lebih banyak perbelanjaan iklan dan promosi (A&P) bagi tahun kewangan 2021.

 

Jelas nota kajian itu, sumbangan yang lebih tinggi daripada produk penjagaan kesihatan pengguna membuka ruang keuntungan kerana segmen berkenaan memperoleh margin yang lebih tinggi berbanding segmen L&D.

 

"Kami tidak membuat perubahan dalam anggaran pendapatan serta mengekalkan saranan 'tambah' saham Pharmaniaga.

 

"Harga sasaran sesaham (TP) tidak berubah dengan nilai RM4.60," jelas CGS-CIMB Research. - DagangNews.com