Permintaan yang lemah punca sektor pembuatan catat penurunan bagi Oktober 2022 | DagangNews Skip to main content

Permintaan yang lemah punca sektor pembuatan catat penurunan bagi Oktober 2022

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Nov - Penurunan dalam sektor pembuatan bagi Oktober 2022 mencerminkan permintaan yang lemah dan membuatkan pengilang terpaksa mengurangkan kadar pengeluaran mereka.

 

MIDF Research berkata, hasil tinjauan terkini menunjukkan bahawa inflasi berkurangan apabila harga jualan meningkat pada kadar paling perlahan dalam tempoh dua tahun.

 

Katanya, ketika pengeluar di negara lain menyatakan kebimbangan mengenai prospek masa hadapan, pengilang Malaysia terus menunjukkan sentimen optimis.

 

"Berdasarkan petunjuk terbaharu, kami menjangkakan momentum pertumbuhan dalam ekonomi Malaysia dapat dikekalkan berikutan permintaan domestik yang semakin meningkat.

 

"Walaupun bacaan PMI (Indeks Pengurusan Pembelian) terkini terus menunjukkan permintaan yang perlahan, namun data perdagangan luaran kekal kukuh mengatasi kebimbangan kelembapan pasaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, keadaan itu juga menjelaskan tentang keyakinan pengilang tempatan terhadap prospek mereka.

 

Bagaimanapun, firma itu kekal berhati-hati terhadap prospek pengeluaran domestik dan aktiviti perdagangan selepas mengambil kira cabaran luar seperti permintaan yang lemah kesan daripada risiko kegawatan ekonomi, kawalan pergerakan COVID-19 di China dan ketegangan geopolitik.

 

"Selain itu, terdapat petunjuk prestasi perdagangan serantau yang lebih lemah kerana Korea Selatan melaporkan eksportnya merosot sebanyak 5.7% pada Oktober 2022 berikutan permintaan lemah dari China.

 

“Begitu juga, Taiwan juga melaporkan kejatuhan eksport sebanyak 5.3% pada September 2022 kesan daripada penghantaran yang lebih lemah ke China,” katanya. - DagangNews.com