Permohonan lesen bank digital telah dihantar ke BNM - Pertama Digital | DagangNews Skip to main content

Permohonan lesen bank digital telah dihantar ke BNM - Pertama Digital

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Jun - Syarikat fintech, Pertama Digital telah menghantar permohonan bagi lesen bank digital kepada Bank Negara Malaysia (BNM), hari ini. 

 

Sebagai rekod, syarikat mula menyatakan minat untuk memohon lesen berkenaan pada 23 April lalu.

 

Susulan itu, Pertama Digital membentuk konsortium dengan Crowdo Holdings Pte Ltd pada 24 Mei 2021, yang merupakan sebuah bank digital untuk pasaran sedang membangun di ASEAN. 

 

Pada 1 Jun lalu, syarikat berjaya memperoleh INFOPRO Sdn. Bhd. sebagai rakan konsortium sebelum mewujudkan kerjasama dengan pemain industri ekosistem kewangan antaranya dengan Trevo, Paywatch, Qoala dan Butterfly FX pada 9 Jun. 

 

Baca : Konsortium Pertama Digital mohon lesen bank digital

 

Syarikat kemudian pada 18 Jun 2021 mewujudkan penerokaan bersama dengan Experian berhubung penyelesaian skor kredit alternatif. 

 

Seterusnya pada 24 Jun 2021, Pertama Digital meraih sokongan kewangan dari Perfect Hexagon Commodity and Investment Bank Limited dan Alsirat Sdn. Bhd. sebagai pelabur.

 

Baca : Pertama Digital jalin kerjasama dengan 2 pelabur baharu untuk bank digital |

 

“Bank digital Islam yang mahu dibentuk oleh konsortium Pertama Digital memberi tumpuan kepada pelanggan yang tidak atau kurang menerima perkhidmatan kewangan.

 

“Bank Digital ini menyasarkan untuk menyediakan produk pembiayaan yang mampu milik dan beretika secara mampan, di samping membimbing B40 dan perusahaan kecil dan sederhana mikro (PKSM) untuk membentuk pengurusan kewangan baik, memupuk produktiviti selepas pandemik,” jelas syarikat dalam makluman di Bursa Malaysia, hari ini. - DagangNews.com