Permohonan Southern Cable pindahkan terbitan saham ke Papan Utama Bursa Malaysia diluluskan | DagangNews Skip to main content

Permohonan Southern Cable pindahkan terbitan saham ke Papan Utama Bursa Malaysia diluluskan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Permohonan Southern Cable Group Berhad untuk memindahkan semua terbitan modal sahamnya dari Pasaran ACE kepada Papan Utama Bursa Malaysia telah diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). 

 

Perkara itu dimaklumkan oleh MIDF Amanah Investment Bank Berhad yang mewakili Southern Cable di Bursa Malaysia, selepas menerima surat daripada SC, hari ini. 

 

“Setakat tarikh akhir pembelian (LPD), terbitan modal saham Southern Cable berjumlah RM218,841,320 yang mewakili 800 juta saham biasa Southern Cable.

 

“Berdasarkan Rekod Pendeposit Southern Cable setakat LPD, kira-kira 29.15% daripada jumlah saham yang diterbitkan syarikat (tidak termasuk saham perbendaharaan) dipegang oleh 5,573 pemegang saham awam, memiliki tidak kurang daripada 100 saham, setiapnya.

 

“Permodalan pasaran Southern Cable berjumlah kira-kira RM350.08 juta, berdasarkan jumlah saham terbitan Southern Cable sebanyak 800 juta dan purata harga wajaran saham lima hari sehingga dan termasuk LPD pada RM0.4376 sesaham,” jelas firma itu.

 

Kumpulan mula disenaraikan sebagai syarikat awam berhad pada 27 Mei 2019 dan seterusnya menyertai Pasaran ACE pada 16 Oktober 2020. 

 

Pada 23 Mei 2019, Southern Cable telah memeterai perjanjian penjualan saham dengan Southern Cable Sdn Bhd (Southern), Nextol Polymer Sdn Bhd (Nextol) dan Daya Forwarding Sdn Bhd (Daya) untuk memiliki 100% kepentingan mereka. 

 

Pada tahun kewangan 2020 (FY20), Southern Cable terus mencatatkan kemerosotan dari segi hasilnya sebanyak 14.31% kepada RM562.73 juta daripada RM656.69 juta pada tahun kewangan sebelumnya, disebabkan oleh penyusutan hasil perniagaan pembuatan kabel dan wayar. - DagangNews.com