Pernas mahu peranan bangunkan francais dikhususkan kepadanya, agenda dibawa kepada Ewon minggu hadapan | DagangNews Skip to main content

Pernas mahu peranan bangunkan francais dikhususkan kepadanya, agenda dibawa kepada Ewon minggu hadapan

Datuk Seri Hasni Mohammad (dua dari kanan) memotong reben pada majlis pelancaran kedai ke-44 Gloria Jean's Coffee di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada 9 Disember 2022. - Gambar RIDUAN RIZAL AHMAD/DAGANGNEWS2022
Oleh JOHARDY IBRAHIM

SERDANG 9 Dis - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi baharu, Datuk Ewon Benedict minggu hadapan bagi membincangkan agar Pernas diberi peranan sepenuhnya dalam segala aspek pembangunan francais.

 

Pengerusinya, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, Pernas adalah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi tetapi bajet pembangunan di bawah kelola Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN).

 

Menurutnya, adalah sesuai segara aspek pembangunan francais dikendali oleh Pernas yang sememangnya agensi diberi peranan khusus membangunkan industri francais negara ini.

 

Beliau berkata, Pernas tidak hanya menyediakan latihan dan bimbingan tetapi juga pembangunan francais secara keseluruhan.

 

"Jadi untuk tujuan itu kita akan mengemukakan permohonan ke pihak kementerian untuk membolehkan geran pembangunan dapat diurus oleh Pernas," katanya.

 

Bercakap kepada DagangNews.com, Hasni berkata, Datuk Ewon dijadualkan melawat ibu pejabat Pernas dan agenda itu akan dibentangkan kepada beliau.

 

Hasni berkata demikian selepas majlis perasmian kedai Gloria Jean's Coffees terbaharu di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini. Yang turut hadir ialah Pengarah Hospital Pengajar UPM, Prof Dr Hamidon Basri dan francaisi Gloria Jean's, Nurhalis Mohammed.


 

hasni mohammad
Datuk Seri Hasni Mohammad


 

hasni mohammad

 


Bagi tahun 2023, sebanyak 16 lagi kedai Gloria Jean's disasarkan untuk dibuka, dengan tumpuan di kompleks membeli-belah.

 

Pernas melalui anak syarikatnya, Wonderful Lifestyle Sdn Bhd (WLSB) memperuntukkan RM8 juta bagi tujuan tersebut.

 

Menurutnya, sehingga kini Pernas telah meluluskan pembiayaan kepada 44 orang usahawan kopi Gloria Jean's, yang mana syarikat itu menawarkan tiga konsep francais iaitu konsep lot kedai, kiosk dan coffeee cart.

 

Hasni turut menyatakan komitmen Pernas untuk membantu bakal-bakal francaisor dan francaisi agar lebih ramai usahawan dilahirkan.

 

Tambahnya, budaya minum kopi yang semakin meluas dalam kalangan masyarakat perlu diteliti secara kritis.

 

"Usahawan perlu bijak mengambil peluang sekali gus merancakkan lagi industri kopi premium negara seiring dengan usaha meningkatkan taraf ekonomi masyarakat," katanya. - DagangNews.com