Perniagaan tepung, bijirin terus pacu keuntungan MFM untuk mengukuh pada Q2 | DagangNews Skip to main content

Perniagaan tepung, bijirin terus pacu keuntungan MFM untuk mengukuh pada Q2

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Segmen perniagaan tepung dan bijirin terus memacu prestasi kewangan Malayan Flour Mills Berhad (MFM) yang menyaksikan keuntungan bersihnya melonjak kepada RM128.31 juta pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) berbanding kerugian bersih RM4.48 juta yang dicatatkan tahun lalu.

 

Menurut makluman MFM di Bursa Malaysia, segmen tersebut menyaksikan lonjakan 18.3% dari segi keuntungan operasi pada suku tahun semasa daripada tempoh sama tahun lalu, terutamanya disumbangkan oleh margin lebih baik dalam perniagaan tepung ketika kos gandum yang rendah, harga jualan lebih tinggi dan permintaan yang kukuh. 

 

Bagi tempoh sama, kumpulan mencatatkan hasil 9.6% lebih tinggi kepada RM576.2 juta daripada RM525.5 juta yang dicatatkan pada suku tahun sama, pada tahun lalu, dipacu oleh jualan lebih tinggi daripada segmen perniagaan tepung dan bijirin serta pengilangan makanan akuamarin, di mana masing-masing melonjak 9.3% dan 30.1%. 

 

“Segmen perniagaan tepung dan bijirin mencatatkan keuntungan operasi lebih tinggi, bernilai RM39.2 juta pada 2QFY21 berbanding RM33.1 juta dicatatkan pada 2QFY20. Sementara, segmen pengilangan makanan akuamarin menyaksikan kerugian operasi melebar sedikit kepada RM1.4 juta daripada RM0.4 juta yang dicatatkan pada suku tahun sama, tahun lalu,” jelas MFM.

 

Dalam pada itu, MFM juga meraih RM126.2 juta hasil daripada pelupusan 49% ekuiti di dalam DTSB Group kepada Tyson Foods yang dicatatkan pada 31 Mei 2021. 

 

Prestasi kewangan DTSB yang mewakili perniagaan ayam dan itik itu didedahkan setakat 31 Mei 2021 dan dikategorikan sebagai pemberhentian operasi semasa 2QFY21 yang berakhir 30 Jun lalu.

 

Menurut MFM, pada April dan Mei 2021, DTSB mencatatkan kerugian selepas cukai bernilai RM16.6 juta berbanding RM29.6 juta pada 2QFY20.

 

Penguncupan dalam kerugian tersebut terutamanya disumbangkan oleh margin yang lebih baik daripada penjualan produk ayam dan itik yang diproses ekoran harga jualan lebih tinggi bagi tempoh tersebut.

 

Semasa tempoh kewangan Januari hingga Mei 2021, DTSB menyaksikan kerugian selepas cukai berjumlah RM40.4 juta, lebih rendah daripada RM58.9 juta yang dicatatkan tempoh sama pada tahun lalu.

 

“Ahli Lembaga Pengarah menjangkakan prestasi kumpulan pada tahun 2021 akan terus mencatatkan keuntungan walaupun persekitaran ekonomi tidak menentu, harga komoditi turun dan naik, kadar pertukaran asing dan impak yang masih ada ekoran pandemik COVID-19. 

 

“Ahli Lembaga Pengarah menjangkakan impak positif daripada kerjasama dengan Tyson International Holding Company bagi perniagaan itik dan ayam bersepadu,” tambah MFM. - DagangNews.com