Perodua bakal perkenal model Alza baharu menjelang Mei ini | DagangNews Skip to main content

Perodua bakal perkenal model Alza baharu menjelang Mei ini

Perodua bakal melancarkan model Alza baharu menjelang Mei ini dalam usaha memacu jualan kenderaan syarikat itu pada tahun 2022.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Feb - Perodua akan memperkenalkan model Alza baharu pada April atau Mei ini dan dilihat akan membantu meningkatkan jualan syarikat itu selaras dengan sasaran 247,800 unit pada tahun 2022.

 

AmInvestment Research berkata, model baharu itu akan dibuat menerusi platform Daihatsu new global architecture (DNGA) dan ia hampir menyamai model Daihatsu Xenia yang dijual di pasaran Indonesia dan Toyota Avanza.

 

Katanya, Perodua juga akan memperkenalkan dua model kenderaan berwajah baharu termasuk Myvi untuk tahun 2022 dan berdasarkan kepada senarai model yang ada, Axia dan Aruz berpotensi untuk diberikan wajah baharu selepas Myvi.

 

"Meskipun dilancarkan pada 2009, Perodua berjaya menjual 1,200 model Alza pada 2021 dan kami percaya ia berpuca daripada kurangnya persaingan daripada kenderaan daripada segmen sama

 

"Selain daripada pengenalan Alza baharu, permintaan terhadap Myvi berwajah baharu kekal tinggi selain Ativa juga menjadi antara model pilihan buat masa sekarang dengan purata jualan 2,700 unit sejak mula dilancarkan pada Mac 2021 berbanding Proton X50 (2,330 unit sebulan)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Perodua dijangka memperkenalkan pelan hala tuju kenderaan elektrik (EV) pada tahun 2022 selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menyasarkan Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang 2050.

 

dai
Daihatsu Xenia

 

Perodua dan rakannya, Daihatsu sedang menjalankan kajian dan akan merangka strategi jangka panjang dalam mencapai misi itu.

 

"Cabaran Perodua adalah untuk memastikan EV itu mampu dimiliki oleh orang ramai. Mampu milik sentiasa menjadi tumpuan jenama itu dan cabaran teknologi serta penghasilan EV adalah lebih mahal berbanding kenderaan tradisional," katanya.

 

avaz
Toyota Avanza

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga RM4.50 sesaham dan firma itu juga mengurangkan sasaran pendapatan 2021F (35.9%) serta 2022F (6.1%) bagi mencerminkan pembukaan semula sektor ekonomi pada 3Q21. - DagangNews.com