Perodua perkenal Axia E pada harga 'Rahmah' RM22,000 | DagangNews Skip to main content

Perodua perkenal Axia E pada harga 'Rahmah' RM22,000

KUALA LUMPUR 15 Jun - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) memperkenalkan semula model transmisi manual ke dalam barisan Axia.

 

Axia E boleh didapati dengan harga mampu milik pada RM22,000 tanpa insurans, menjadikannya model pengenalan pembuat kereta ini.

 

Ia juga menjadikannya model Perodua paling murah, mengatasi model Kancil yang dilancarkan pada 1994 berharga sekitar RM24,000.

 

 

Gambar ihsan MotoMalaya
Gambar ihsan MotoMalaya

 

 

Axia E

 

 

Varian baharu Axia ini juga merupakan kereta paling mampu milik di pasaran dan harga itu terpakai untuk Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

 

Dari segi fizikal, varian E adalah berdasarkan Axia 2017 dan diperakui dengan penarafan empat bintang ASEAN NCAP oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

 

Perodua Axia E baharu ini dilengkapi dengan dua beg udara, peringatan tali pinggang keledar untuk pemandu dan waranti lima tahun dengan tiga warna pilihan iaitu Ivory White, Glittering Silver dan warna baharu, Granite Grey.

 

 

Gambar ihsan MotoMalaya
Gambar ihsan MotoMalaya

 

Axia E

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata syarikat itu menyasarkan untuk menjual sehingga 1,500 unit sebulan, termasuk pemilik individu dan jualan korporat.

 

“Kami percaya Axia E akan memenuhi peranan semasanya untuk memberi peluang kepada pemilik motosikal dapat memiliki kereta baharu.

 

“Berdasarkan perbincangan kami dengan institusi kewangan tempatan, kami mendapati bahawa kos sewa beli bagi memiliki Axia E hanya memerlukan pembayaran RM300 sebulan. Ini adalah kos sama yang akan diambil oleh seseorang untuk membeli motosikal baharu secara sewa beli," ujar beliau.

 


 

Gambar ihsan MotoMalaya
Gambar ihsan MotoMalaya

 

Axia E

 

Tambahnya, Axia E adalah sebahagian daripada objektif asal Perodua untuk menyediakan mobiliti mampu milik dan berkualiti untuk semua rakyat Malaysia.

 

"Walaupun kami tidak menentukan siapa pelanggan kami, kami percaya bahawa memiliki model ini akan menjadi pilihan yang dialu-alukan oleh majoriti rakyat Malaysia," katanya.

 

Menurut beliau, Perodua dilaporkan mendaftarkan sebanyak 606,756 unit model Axia setakat 31 Mei sejak dilancarkan pada 2014. -DagangNews.com

 

Axia E

 

Axia E