Perodua, Proton kekal ‘juarai’ pasaran automotif negara | DagangNews Skip to main content

Perodua, Proton kekal ‘juarai’ pasaran automotif negara

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Mac - Sepanjang tempoh dua bulan pertama tahun 2021, Perodua dan Proton kekal mendominasi penguasaan pasaran automotif Malaysia berbanding jenama kenderaan bukan tempatan, masing-masing 44.3% dan 22.4%.

 

Bagi tempoh berkenaan, kedua-dua jenama itu juga memacu pertumbuhan jualan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang menyaksikan peningkatan 10% berbanding tempoh sama bagi tahun lalu. 

 

Segmen SUV bagi Perodua dan Proton masing-masing menokok 46% dan 102%, tahun ke tahun (y-o-y), menurut penganalisis di CGS-CIMB Research, Mohd Shanaz Noor Azam.

 

“Kami menjangkakan jumlah jualan akan meningkat bermula Mac 2021 dan seterusnya, dengan aktiviti ekonomi berjalan semula, disokong oleh program vaksinasi COVID-19 kebangsaan yang bermula pada Februari lalu. 

 

“Kami masih mengunjurkan jumlah keseluruhan industri (TIV) mencecah 580,000, peningkatan 10% y-o-y, berdasarkan jualan lebih tinggi di Proton (+20% y-o-y) dan Perodua (+13% y-o-y), dipacu oleh beberapa pelancaran baharu. 

 

“Kami mendapati permintaan bagi Proton X50 dan X70 kekal kukuh, dengan pengurusan Proton semasa taklimat keputusan suku keempat 2020 (4Q20) DRB-Hicom membayangkan bahawa model-model itu menyaksikan tempahan tertunggak kira-kira tiga hingga empat bulan,” katanya dalam sebuah nota kajian. 

 

Tambah Mohd. Shanaz, Perodua pula dikatakan menerima lebih 8,000 tempahan bagi SUV Ativa yang baru dilancarkan. 

 

Ini mendorong beliau untuk percaya perkembangan positif itu akan menyokong pertumbuhan TIV bagi tahun ini dan seterusnya. 

 

TIV bagi Februari meningkat 30%, perbandingan bulan ke bulan (m-o-m) daripada 32,837 pada Januari 2021 kepada 42,784 unit, dipacu oleh trafik di bilik pameran yang lebih tinggi selepas penarikan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

 

Peningkatan itu didorong oleh permintaan yang lebih tinggi bagi segmen SUV dan kenderaan penumpang, di mana masing-masing menyaksikan lonjakan jumlah jualan 98% dan 19% m-o-m. 

 

Sementara itu, MIDF Research pula mengekalkan penarafan ‘positif’ terhadap sektor automotif dengan unjuran 550,000 TIV menjelang tahun ini, peningkatan 4% y-o-y.

 

Unjuran itu tidak berubah di mana sejajar dengan ramalan pertumbuhan TIV oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) iaitu +8% dan jangkaan-jangkaan lain, peningkatan dalam julat +9% hingga +13%.

 

“Setakat ini bagi tahun 2021 (YTD), TIV menyusut 10% kepada 75,621 unit, tetapi angka bagi Mac dan April dijangka meningkat kerana sekatan pergerakan dalam radius 10 kilometer ditarik semula, operasi penuh di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pembelian menjelang Hari Raya. 

 

“Paling penting, TIV bagi Mac dan April 2021 akan keluar daripada paras yang sangat lemah dalam tempoh yang sama tahun lalu (dengan hanya 165 unit penjualan pada April 2020), sangat teruk disebabkan oleh PKP 1.0.

 

“Di sebalik kekangan bekalan sementara, permintaan tetap kukuh dengan purata tempahan bank selama 1 hingga 3 bulan, disokong oleh pelepasan cukai yang dilanjutkan, ujar MIDF lanjut.

 

Ringgit yang lebih kukuh menyokong pemulihan pendapatan sektor itu pada tahun ini, jelas MIDF. - DagangNews.com