Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Nov - Malacca Securities mengekalkan saranan 'Pegang' ke atas saham Econpile Holdings Bhd. dgn harga sasaran tidak berubah sebanyak RM0.36 sesaham.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, Malacca Securities berkata, anak syarikat milik penuh Econpile, Econpile (M) Sdn Bhd telah menerima Surat Setuju Terima Bertarikh 12 November 2021 daripada Cosmo Property Management Sdn Bhd untuk melaksanakan pembinaan dan penyiapan kerja-kerja substruktur bagi projek pembangunan bercampur di Damansara, Selangor bernilai RM33.2 juta.
Katanya, kontrak tersebut merupakan kontrak pembinaan utama kedua yang diperoleh oleh Econpile untuk tahun kewangan 2022.
"Penambahan buku pesanan semasa sebanyak RM55.9 juta kini mewakili 18.6% daripada jangkaan kami sebanyak RM300.0 juta untuk tahun kewangan semasa.
"Memandangkan pengisian semula buku pesanan adalah dalam jangkaan kami, kami tidak membuat perubahan pada ramalan pendapatan kami, sementara menunggu pengumuman keputusan suku kedua 2022 menjelang akhir bulan ini.
"Kami mengekalkan syor 'Pegang' ke atas Econpile dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM0.36," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Tambah firma penganalisis itu, pihaknya percaya bahawa akan ada lebih banyak kerja berkaitan hartanah akan datang, terutamanya pada tahun 2022 apabila pemaju hartanah mula mempercepatkan pelancaran mereka selepas penangguhan baru-baru ini.
"Ini adalah selaras dengan matlamat Econpile untuk mendapatkan kontrak berskala yang lebih kecil, menyasarkan di bawah RM50 juta pada masa hadapan.
"Pada masa yang sama, Econpile akan dapat meningkatkan perbelanjaan pembangunan yang lebih tinggi di bawah Bajet 2022.
"Ini termasuklah beberapa projek infrastruktur utama termasuk pembinaan projek perumahan kos rendah serta penerusan Lebuhraya Pan Borneo, Central Spine Road dan MRT Lembah Klang," katanya. -DagangNews.com