Perolehan di bawah jangkaan, saranan saham AME Elite disemak turun kepada 'jual' | DagangNews Skip to main content

Perolehan di bawah jangkaan, saranan saham AME Elite disemak turun kepada 'jual'

AME Elite Consortium Bhd (AME Elite)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Penarafan saham syarikat kejuruteraan dan pembangunan hartanah, AME Elite Consortium Bhd (AME Elite) disemak turun kepada 'jual' berbanding 'pegang' pada sebelumnya.

 

Malacca Securities (Mplus Research) berkata, semakan tersebut dibuat setelah menilai kepada pretasi perolehan semasa syarikat selain risiko berkaitan wabak COVID-19.

 

"Prestasi perolehan yang dilaporkan adalah di bawah jangkaan kami, kami mengubah unjuran perolehan kepada yang lebih rendah bagi tahun kewangan 2022 dan 2023, masing-masing sebanyak 16.9% dan 8.7%.

 

"Unjuran yang lebih rendah itu juga adalah bagi mencerminkan impak daripada pelaksanaan 'lockdown'.

 

"Oleh itu, kami menyemak turun saranan saham AME kepada 'jual' berbanding 'pegang' dengan harga sasaran sesaham (TP) yang lebih rendah iaitu RM2.41 berbanding RM2.57 pada sebelumnya," jelas Mplus Research.

 

AME Elite merekodkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 35.5% tahun ke tahun kepada RM7.2 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022.

 

Prestasi tersebut didorong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen pembinaan dan pelaburan hartanah serta perkhidmatan pengurusan.

 

Perolehan bagi suku berkenaan meningkat 40.2% berbanding suku sebelumnya kepada RM76.8 juta.

 

Mplus Research memberitahu, jumlah perolehan yang dicatatkan hanya merangkumi 10% daripada jangkaan pihaknya.

 

Kelemahan hasil berkenaan dipengaruhi oleh pelaksanaan 'lockwdown' pada awal Jun 2021 yang menjejaskan pembangunan hartanah selain kelewatan pembinaan projek. - DagangNews.com