Persaingan perdagangan dan teknologi China-AS dalam semikonduktor beri manfaat kepada Malaysia - MITI | DagangNews Skip to main content

Persaingan perdagangan dan teknologi China-AS dalam semikonduktor beri manfaat kepada Malaysia - MITI

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mac - Persaingan perdagangan dan teknologi antara China dan Amerika Syarikat (AS) di dalam industri semikonduktor telah memberi manfaat kepada Malaysia, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

 

Liew berkata, syarikat-syarikat semikonduktor multinasional membuat keputusan strategik untuk membina rantaian bekalan kedua dan tidak lagi tertumpu pada satu negara sahaja sebagai langkah untuk memastikan rantaian bekalan yang selamat dan berdaya tahan.

 

Beliau berkata, kebanyakan syarikat-syarikat itu memilih Malaysia sebagai lokasi baharu untuk fasiliti pengeluaran mereka.

 

Katanya, syarikat-syarikat besar yang sudah lama bertapak di negara ini, seperti Intel dari AS dan Infineon dari Jerman juga dilihat turut mengambil langkah dengan terus mengembangkan operasi mereka secara signifikan di Malaysia.

 

"Malaysia mempunyai kelebihan berbanding negara lain iaitu sudah mempunyai ekosistem industri semikonduktor yang matang sejak 1970-an terutama kelompok elektrik dan elektronik (E&E) di Pulau Pinang dan Kulim.

 

"Limpahan pelaburan seperti ini dijangka terus meletakkan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelaburan penting di dunia dalam memajukan industri cip global. 

 

"Malaysia perlu merebut peluang keemasan ini untuk mengembangkan lagi industri semikonduktor negara dan menjadi negara pembuatan semikonduktor bernilai tambah tinggi dengan aktiviti di sepanjang rantaian nilai, seperti reka bentuk IC, fabrikasi wafer, pemasangan dan ujian serta pemasaran teknikal,"  katanya.

 

Beliau berkata demikan ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (Kuala Terengganu-PN) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

 

Lim berkata, aktiviti bernilai tambah tinggi ini memerlukan pengetahuan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang luas dan seterusnya akan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi dan berkemahiran tinggi dengan gaji yang lebih tinggi untuk rakyat Malaysia.

 

Katanya, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang dilancarkan pada tahun lepas dilihat berupaya menyokong usaha kerajaan ke arah meningkatkan pelaburan dalam keseluruhan rantaian nilai semikonduktor dengan menggalakkan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi, serta menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi. 

 

"NIMP 2030 juga menyasarkan untuk membangunkan syarikat IC Design tempatan yang berdaya saing di peringkat global dan menarik pelaburan dalam aktiviti fabrikasi wafer yang mampu memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pemain utama sektor pembuatan barangan E&E dan semikonduktor di rantau ini," katanya.

 

Sepanjang 2023 katanya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan 120 projek dengan jumlah pelaburan sebanyak RM85.4 bilion dalam industri E&E, iaitu 56% daripada jumlah pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan. 

 

Katanya, sebagai perbandingan, jumlah pelaburan dalam industri E&E yang diluluskan pada 2023 adalah jauh lebih besar daripada yang diluluskan pada 2022 dengan perbezaan kira-kira RM55 bilion. 

 

"Dari segi eksport pula, industri E&E telah menyumbang sebanyak 47.3% daripada keseluruhan eksport barangan negara, bernilai RM575.45 bilion pada 2023," katanya.

 

Katanya, bagi memacu hala tuju pembangunan ekosistem industri semikonduktor di dalam negara, kerajaan juga telah menubuhkan Pasukan Petugas Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSSTF) yang keanggotaannya terdiri daripada pelbagai kementerian, jabatan kerajaan, institusi pengajian tinggi dan persatuan industri. 

 

"Di samping itu, panel penasihat khas kepada NSSTF turut ditubuhkan, yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada pakar-pakar dalam pelbagai rantaian nilai dan bekalan dalam industri semikonduktor di Malaysia, mewakili syarikat PKS, syarikat tempatan ataupun Multinational Corporations (MNC). 

 

"NSSTF ini berperanan sebagai satu platform khusus untuk membincangkan dan melaksanakan hala tuju, dasar, strategi dan inisiatif, termasuk usaha menarik pelaburan strategik di dalam sektor semikonduktor," katanya.

 

Tambahnya, antara fokus utama NSSTF di peringkat awal adalah untuk menangani isu-isu berkaitan seperti insentif, bakat dan ekosistem industri semikonduktor.

 

"Kerajaan kekal komited untuk membangunkan industri semikonduktor yang kini merupakan sumber strategik negara, selaras dengan ungkapan 'semiconductor is the new oil'," katanya. - DagangNews.com